BH Online
Ringkasan Berita

Ewal Kristal bergelar bapa, pilih nama Ivy Sophea buat anak sulung

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Kristal, Ewal Ismail, 34, bergelar bapa selepas menimang cahaya mata sulung, iaitu seorang bayi perempuan yang diberi nama Ivy Sophea.
Ewal Kristal bergelar bapa, pilih nama Ivy Sophea buat anak sulung

Meskipun tidak berkongsi secara terperinci kelahiran cahaya matanya itu, namun Ewal menggambarkan rasa syukur tidak terhingga dirasainya sesudah bergelar seorang bapa. Foto IG Ewal Ismail

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Kristal, Ewal Ismail, 34, bergelar bapa selepas menimang cahaya mata sulung, iaitu seorang bayi perempuan yang diberi nama Ivy Sophea.

Berita gembira itu dikongsi Ewal atau nama sebenar, Ikhwal Hafiz Ismail pada hantaran foto dimuat naik di Instagram (IG) dengan kata-kata indah seorang bapa buat anaknya.

"Saya adalah lelaki pertama yang memandang mata awak. Saya juga lelaki pertama yang mencium, memeluk dan memegang awak dalam pelukan hangat ini.

"Dari detik pertama itu, tanpa sedar awak sudah mengubah seluruh dunia saya. Tiada harta yang dapat dibandingkan dengan senyuman manis awak.

"Tiada pencapaian lebih bermakna daripada melihat awak membesar menjadi seorang wanita yang baik kuat dan bahagia," tulisnya dalam keterujaan bergelar bapa.

Ewal yang juga anak kepada bekas vokalis Wings, Mel ini memaklumkan dia mungkin tidak menjanjikan kehidupan sempurna buat anaknya, tetapi sentiasa bersedia menjadi tempat selamat untuk berlindung.

"Saya tidak boleh janjikan kehidupan sempurna, tetapi saya berjanji untuk menjadi tempat paling selamat buat awak. Bahu yang awak boleh sentiasa bersandar dan doa yang tidak akan berhenti buatmu.

"Awak akan sentiasa menjadi puteri kecil saya, cinta pertama dan berkat terbesar yang Tuhan pernah serahkan kepada saya. Terima kasih kerana memilih untuk menjadikan saya bapa awak, Ivy Sophea," katanya berserta emoji hati berwarna putih.

Meskipun tidak berkongsi secara terperinci kelahiran cahaya matanya itu, namun Ewal menggambarkan rasa syukur tidak terhingga dirasainya sesudah bergelar seorang bapa, selain tanggungjawab suami digalas.

Ewal mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan dikenali sebagai Nelly, 26, pada 26 April 2024 lalu dalam majlis pernikahan di Shah Alam, Selangor.

Video Terkini

Berita Berkaitan