puterialia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: "Mama, saya sayangkan mama lebih daripada apa yang mampu dijelaskan dengan kata-kata," demikian luahan anak kepada Allahyarham Lydia Ibtisam, Alisya, menerusi sebuah hantaran di TikToknya.
Menurut Alisya atau nama sebenarnya Nur Sarah Alisya, 14, arwah ibunya itu merupakan sumber inspirasi terbesar dalam hidupnya dan tidak akan dapat digantikan oleh sesiapa pun.
"Terima kasih kerana mengajar saya banyak perkara dalam hidup untuk menjadi seorang yang baik, sentiasa kuat dan tidak pernah mengaku kalah.
"Segala-galanya yang ada pada diri saya hari ini adalah disebabkan mama," tulisnya.
Dalam pada itu, anak sulung daripada dua beradik ini mengakui tidak pernah membayangkan akan berpisah dengan arwah ibunya dalam tempoh yang begitu cepat.
"Saya tidak pernah terbayang akan mengucapkan selamat tinggal seawal ini. Hati saya terlalu sakit, tetapi saya berjanji akan bawa apa yang Mama ajar ke mana sahaja saya pergi.
"Saya berharap saya dapat membanggakan mama, sebagaimana mama sentiasa membuatkan saya bangga untuk memanggil mama sebagai ibu saya.
"Saya sangat rindukan mama dan saya akan menyayangi mama buat selama-lamanya," luahnya lagi.
Alisya turut menitipkan doa agar Allah menempatkan arwah ibunya di syurga yang tertinggi.
Terdahulu, Allahyarham Lydia menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital pada Khamis lalu akibat komplikasi penyakit autoimun dan jangkitan kuman yang menjejaskan fungsi organ dalaman.
Selain Alisya, pelakon drama bersiri Dunia Illyana itu turut meninggalkan seorang anak lelaki, Muhd Adan, 10, hasil perkahwinan dengan suaminya, Ezam Merican.
























