BH Online
Ringkasan Berita

Andre Goh belajar lagu Melayu asli di riba bapa

KUALA LUMPUR: Seawal usia dua tahun, Datuk Andre Goh, 79, atau nama sebenar, Goh Eng Boon, didedahkan dengan irama lagu Melayu asli yang berkumandang daripada gramofon milik bapanya di ruang tamu kediaman mereka di Tangkak, Johor.
Andre Goh belajar lagu Melayu asli di riba bapa

Sepanjang lebih lima dekad dalam industri seni, Andre sudah merakamkan tujuh album. Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Seawal usia dua tahun, Datuk Andre Goh, 79, atau nama sebenar, Goh Eng Boon, didedahkan dengan irama lagu Melayu asli yang berkumandang daripada gramofon milik bapanya di ruang tamu kediaman mereka di Tangkak, Johor.

Masih segar dalam ingatan penyanyi berketurunan Baba Nyonya itu, setiap kali jarum gramofon mula berputar memainkan lagu asli, dia berlari mendapatkan bapanya sebelum duduk di riba untuk sama-sama menghayati alunan dondang sayang, zapin dan ghazal.

"Setiap kali ayah memainkan gramofon, saya akan duduk di ribanya. Saya gemar mendengar dan menikmati lagu-lagu itu bersama ayah. Saya juga sering bertanya siapakah penyanyinya.

"Lama-kelamaan, apabila sering didedahkan dengan irama muzik asli, saya mula menguasainya. Pada saya, tiada apa yang ganjil. Mungkin Allah mengurniakan saya keistimewaan untuk menguasai lagu Melayu asli hanya dengan mendengarnya," katanya kepada BH Online.

WhatsApp Image 2026-07-24 at 8.10.18 PM
Kehebatan Andre mendendangkan lagu Melayu asli ketika menyertai pertandingan Bakat TV RTM pada 1972 bukan sahaja memukau penonton, malah, mengejutkan rakan-rakan kumpulan muzik yang pernah bersamanya di Johor Bahru. Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Kehebatan Andre mendendangkan lagu Melayu asli ketika menyertai pertandingan Bakat TV RTM pada 1972 bukan sahaja memukau penonton, malah, mengejutkan rakan-rakan kumpulan muzik yang pernah bersamanya di Johor Bahru.

"Mereka mengikuti perkembangan saya sepanjang pertandingan itu. Mereka terkejut melihat saya menyanyikan lagu Melayu asli sehingga menghubungi saya untuk bertanya bagaimana saya boleh kuasai lagu-lagu itu.

"Sedangkan sepanjang bermain dengan kumpulan muzik, saya tidak pernah menyanyikan lagu Melayu. Kami hanya mempersembahkan lagu Inggeris. Malah, ketika di bangku sekolah pun saya hanya menyanyikan lagu Inggeris dalam pertandingan Talent Time," katanya.

Detik yang mengubah perjalanan kerjayanya bermula apabila menyertai pertandingan Bakat TV RTM. Syarat pertandingan yang mewajibkan setiap peserta menyampaikan sekurang-kurangnya sebuah lagu Melayu mendorong Andre memilih lagu Melayu langgam pada sesi uji bakat.

"Ketika itu, syarat pertandingan mewajibkan peserta menyanyikan lagu Melayu. Lagu kedua pula bebas sama ada dalam bahasa Tamil, Inggeris atau Cina.

"Apabila hendak masuk pertandingan sebesar itu, saya fikir saya perlu melakukan sesuatu yang mampu menarik perhatian juri. Saya langsung tidak berniat hendak menang atau bergelar juara kerana saya tahu peserta musim terdahulu semuanya hebat.

"Sewaktu uji bakat, saya hanya sempat menyanyikan empat baris lagu sebelum produser, Zainal Abu, meminta saya berhenti dan pulang. Sudah tentu saya terkejut kerana peserta lain diberi peluang menyanyikan lagu hingga habis.

"Dalam hati saya berkata, habislah… Memang melingkuplah saya," katanya sambil ketawa.

Namun, sangkaannya meleset apabila kira-kira tiga minggu kemudian, dia menerima surat memaklumkan berjaya melepasi sesi uji bakat.

"Sejak awal lagi saya sudah berniat untuk menyanyikan lagu Melayu langgam sepanjang pertandingan. Saya masuk pertandingan ini bukan untuk menang. Bagi saya, asalkan dapat melangkah ke peringkat akhir sudah memadai.

"Kalau berjaya ke peringkat akhir, saya mahu sampaikan lagu Melayu tulen. Saya pilih lagu Mas Merah dan ketika itu hanya saya seorang yang membawakan lagu berkenaan," katanya.

Seperti dijangka, Andre tidak memenangi sebarang tempat pada malam akhir pertandingan. Namun, bagi anak muda dari Tangkak itu, peluang berdiri di pentas akhir Bakat TV sudah cukup besar maknanya.

"Saya memang tidak menang apa-apa, tetapi tetap puas hati kerana sekurang-kurangnya berjaya melangkah ke peringkat akhir seperti yang saya harapkan.

"Ketika itu, hanya ada satu saluran televisyen (TV). TV2 dan TV3 pun belum wujud lagi. Jadi, apabila diberi peluang muncul di TV, saya gunakan peluang itu untuk memperkenalkan keistimewaan saya menerusi lagu Melayu langgam.

"Pada tahun saya bertanding, tempat pertama dimenangi Rahim Osman yang bermain seruling. Pertandingan Bakat TV bukan sekadar pertandingan nyanyian, malah mempertandingkan persembahan muzik, silap mata, koir dan pelbagai bakat lain.

"Kemenangan Rahim memang boleh dijangka kerana dia memainkan lagu Mission: Impossible yang ketika itu popular. Tempat kedua pula dimenangi sekumpulan peserta berketurunan Serani yang menyanyikan lagu Inggeris, manakala tempat ketiga menjadi milik Suhaimi Shamsuddin.

"Saya memang tak menang apa-apa, tetapi saya tidak kisah. Apa yang lebih membanggakan ialah orang mula mengenali saya sebagai budak Cina yang boleh menyanyikan lagu Melayu asli kerana bukan mudah untuk menguasai lagu seperti itu," katanya.

Antara kenangan paling sukar dilupakan Andre ialah apabila seorang peminat sanggup menaiki bas dari Batu Pahat, Johor semata-mata mahu menyaksikan persembahannya pada pertandingan akhir Bakat TV.

"Peminat itu beritahu dia mengikuti saya sejak awal pertandingan lagi. Untuk malam akhir, dia sanggup datang menaiki bas walaupun tiba agak lewat dan terpaksa berdiri sepanjang acara kerana auditorium sudah penuh.

"Selepas pertandingan, dia berjumpa saya dan memberitahu dia menangis apabila nama saya tidak diumumkan sebagai pemenang. Kalau peminat itu masih ada lagi hari ini, saya memang teringin sangat hendak bertemu dengannya sekali lagi," katanya.

Mengimbau perjalanan lebih lima dekad dalam dunia seni, Andre mengakui tidak pernah terlintas di fikiran untuk bergelar artis terkenal. Baginya, sebagai anak kampung yang membesar di sebuah pekan kecil di Johor, peluang muncul di TV ketika itu sudah cukup besar maknanya.

"Saya amat bersyukur kerana bukan semua orang mendapat peluang seperti itu. Walaupun bayaran dahulu tidaklah besar, saya gembira kerana dapat membanggakan emak dan ayah.

"Ketika mula menceburi bidang ini, saya tidak pernah bercita-cita menjadi artis atau mengejar populariti. Saya percaya pada satu pepatah Inggeris bahawa seseorang artis itu dilahirkan, bukan dicipta. Allah yang memilih seseorang itu menjadi artis.

"Sebab itu saya selalu beritahu peserta pertandingan nyanyian, menjadi juara memang susah, tetapi menjadi seorang bintang jauh lebih sukar kerana ia adalah takdir daripada Allah.

"Tidak semestinya seseorang yang menang pertandingan akan menjadi bintang. Ramai penyanyi hebat seperti Datuk DJ Dave dan Uji Rashid tidak pernah menyertai pertandingan, tetapi tetap muncul sebagai bintang. Sebaliknya, ada juga yang menjadi juara, namun, popularitinya hanya bertahan setahun dua sebelum dilupakan," katanya.

Andre berkata, dia juga sering menasihati peserta pertandingan bakat supaya tidak menjadikan populariti atau wang sebagai matlamat utama dalam kerjaya seni.

"Ketika menjadi juri pertandingan bakat di RTM dahulu, saya selalu bertanya kepada peserta mengapa mereka mahu menjadi penyanyi.

"Kalau jawapannya kerana mahu popular atau cepat mendapat wang, saya akan cakap lebih baik jangan jadi penyanyi. Minat, bakat dan keikhlasan jauh lebih penting daripada mengejar glamor," katanya.

Pada masa sama, Andre berharap generasi hari ini tidak melupakan seni budaya tradisional Melayu yang menjadi warisan negara.

Andre tidak menghalang sesiapa memilih genre muzik diminati, namun, berharap seni budaya dan khazanah negara terus dipelihara serta tidak dilupakan.

"Saya sangat terhutang budi kepada Tan Sri Rais Yatim. Ketika beliau menjadi Menteri Kebudayaan, beliau sering menjemput saya membuat persembahan. Itu antara usaha kerajaan ketika itu untuk mengeratkan hubungan dan memupuk perpaduan antara kaum melalui seni.

"Beliau memberi peluang kepada orang Cina menyanyikan lagu Melayu asli. Cuba lihat sekarang, berapa ramai penyanyi Cina yang masih menyanyikan lagu Melayu asli di TV?

"Saya cakap ini dengan ikhlas. Kalau kita benar-benar mahu memperkukuhkan perpaduan, jangan sekadar bercakap atau berdebat mengenainya, sebaliknya laksanakan," katanya.

Mengulas rahsia kerjayanya mampu bertahan sehingga hari ini, Andre percaya seseorang penyanyi perlu memiliki keunikan tersendiri dan tidak sekadar mengikut jejak orang lain.

"Sebenarnya, saya tidak meminati lagu Melayu asli. Namun, Allah mengurniakan saya kebolehan untuk menyanyikannya. Apabila saya mendengar sesuatu lagu yang saya minat, saya boleh terus menghafalnya.

"Ketika mahu menyertai pertandingan, saya tahu saya perlu ada kelainan. Kalau semua orang membawa senjata yang sama, bagaimana kita hendak menonjol? Kita perlu ada keistimewaan yang orang lain tidak ada.

"Sebab itu, saya selalu beritahu peserta pertandingan bakat nyanyian, kalau tujuan menjadi penyanyi hanya kerana mahu popular atau mencari wang, lebih baik jangan. Minat, bakat dan keunikan itulah yang akan menentukan sejauh mana seseorang mampu bertahan dalam industri seni," katanya.

Bapa Andre, iaitu Goh Tiam Leong mahir mendendangkan lagu dondang sayang. Ibunya, Wee Teck Neo pula mahir berpantun.

Sepanjang lebih lima dekad dalam industri seni, Andre sudah merakamkan tujuh album.

Video Terkini

Berita Berkaitan