KUALA LUMPUR: Ketika seorang demi seorang rakan seangkatan dalam musim ketiga program realiti, Akademi Fantasia (AF3), kira-kira dua dekad lalu, dilihat memperlahankan rentak arau meninggalkan dunia seni, Marsha Mila terus mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik tanah air.
Diam tak diam, sudah 21 tahun penyanyi kelahiran Tamparuli, Sabah itu mewarnai industri muzik dengan pelbagai pencapaian membanggakan.
Terbaharu, Marsha melakar satu lagi kejayaan apabila lagu ciptaannya, Tangisan Pendosa dengan lirik nukilan Hazama, berjaya mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-40.
Tiada formula istimewa, penyanyi yang terkenal dengan vokal mantap itu percaya minat yang mendalam terhadap muzik, selain kesediaan untuk terus belajar menjadi rahsia dirinya kekal relevan.
"Saya fikir apa yang membuatkan saya terus bertahan adalah kerana minat yang sentiasa ada sepanjang 21 tahun ini. Saya juga sentiasa mahu belajar dan memahami bagaimana industri muzik ini berfungsi.
"Setiap pengalaman yang saya lalui, sama ada manis atau mencabar, banyak membentuk saya menjadi penggiat seni yang lebih baik.
"Bagi saya, kita perlu sentiasa terbuka untuk belajar perkara baharu dan berani keluar daripada zon selesa. Kalau berjaya, Alhamdulillah. Kalau tidak, ia tetap satu proses pembelajaran," katanya kepada BH Online.

Marsha turut percaya hubungan baik dengan semua pihak menjadi antara faktor yang membantu seseorang bertahan lama dalam industri hiburan.
"Saya percaya kita perlu sentiasa baik dan mesra dengan semua orang kerana kita tidak pernah tahu siapa yang sudi berkongsi ilmu serta membantu kita berkembang," katanya.
Mengulas pencalonan Tangisan Pendosa ke AJL 40, Marsha berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan juri untuk menentukan lagu terbaik.
Bagaimanapun, pencalonan sulung sebagai komposer di AJL sudah cukup memberi makna dan membakar semangatnya untuk terus menghasilkan karya baharu.
"Sebenarnya, sudah hampir 17 tahun saya tidak menulis lagu selepas kali terakhir menghasilkan Janji untuk runut bunyi supertele Qurban 44.
"Walaupun AJL belum mengumumkan pemenang, peluang dicalonkan buat kali pertama ini sudah menjadi penghormatan yang sangat besar buat saya. Ia benar-benar membakar semangat untuk saya terus berkarya.
"Saya sebenarnya komposer bermusim. Saya hanya akan tulis lagu apabila ilham datang. Insya-Allah, peluang diberikan AJL akan menjadi inspirasi untuk saya menghasilkan lebih banyak lagu pada masa depan," katanya.
Marsha yang menginjak usia 40 tahun itu mengakui mendambakan trofi Vokal Terbaik pada malam kemuncak AJL 40 yang bakal menggegar Unifi Arena, Bukit Jalil, pada 15 Ogos depan.
Namun, Marsha mengakui masih berdepan kebimbangan berikutan masalah paru-paru yang dialaminya sejak tahun lalu.
Akuinya, masalah kesihatan itu berpunca daripada komplikasi jangkitan COVID-19 kira-kira lima tahun lalu, namun, keadaannya kini semakin pulih.
"Saya disahkan menghidap masalah paru-paru, tahun lalu. Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik. Cuma saya berdoa masalah itu tidak akan mengganggu persembahan saya di AJL 40 nanti.
"Saya pernah kehilangan suara ketika AJL 35. Jadi, saya bimbang perkara sama berulang. Sebab itu saya perlu membuat persediaan untuk menghadapi apa juga situasi. Selebihnya saya serahkan kepada Allah," katanya.
Sehubungan itu, Marsha kini lebih menitikberatkan aspek pemakanan, termasuk mengelak makanan pedas terutama sebelum membuat persembahan.
"Saya tidak boleh ambil makanan pedas sebelum menyanyi kerana tekak akan rasa tidak selesa. Setakat ini, tiada pantang khusus, saya masih menikmati makanan kegemaran seperti biasa, cuma elak makanan pedas sebelum persembahan," katanya.
Berkongsi mengenai kehidupan peribadi bersama suami, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, Marsha bersyukur kerana sepanjang hampir 11 tahun melayari alam rumah tangga, suaminya sentiasa menjadi tulang belakang serta penyokong terbesarnya.
Tambahnya, komunikasi yang baik menjadi kunci utama dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga.
"Dalam sesebuah perkahwinan, kepercayaan adalah perkara yang sangat penting. Dalam kerjaya seni pula, ada masanya pasangan tidak begitu memahami tuntutan atau situasi yang kita hadapi. Jadi, komunikasi memainkan peranan yang sangat besar.
"Alhamdulillah, saya dikurniakan suami yang sangat menyokong. Dia sentiasa mengambil tahu mengenai kerja saya. Suami juga berkongsi pandangan atau cadangan untuk perkembangan kerjaya saya walaupun bidang kami sangat berbeza.
"Saya sangat menghargai perbezaan antara kami kerana itulah yang saling melengkapi," katanya.
























