SHAH ALAM: Fasha Sandha meluahkan rasa kesal terhadap sikap seorang pelakon yang didakwa kerap datang lewat ke lokasi penggambaran sehingga menjejaskan kelancaran kerja produksi.
Bagaimanapun, Fasha, 42, enggan mendedahkan identiti individu terbabit, sebaliknya berharap teguran yang dimuat naik menerusi status WhatsApp dijadikan iktibar.
"Saya tak mahu sebut siapa orangnya. Saya fikir dia tahu siapa dirinya. Dia lewat bukan sekali dua, tetapi hampir setiap hari. Jadi, saya harap dia jadikan perkara itu sebagai pengajaran.
"Saya harap mereka yang membaca status itu juga dapat mengambil iktibar supaya tidak mengulangi perkara sama. Kelewatannya bukan sehari, tetapi hampir setiap hari dan sampai berjam-jam.
"Saya harap selepas ini dia lebih peka menjaga masa dan menghormati orang lain," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen SAFI Youth Gold Rania yang turut mengumumkan dirinya sebagai duta jenama itu di Central i-City di sini, hari ini.
Fasha berkata, pelakon terbabit sebenarnya sudah beberapa kali ditegur pihak produksi, namun, kelewatan itu didakwa masih berulang sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan kru dan rakan sekerja.
"Ada orang lain yang sudah tegur dia bagi pihak produksi. Bagi saya, disiplin dan komitmen adalah perkara nombor satu yang perlu diutamakan.
"Apabila kita menjaga disiplin dan komitmen, tiada siapa boleh menjatuhkan kita. Itu sahaja," katanya.
Fasha berkata, pendekatannya kini lebih matang berbanding dahulu apabila memilih untuk meluahkan rasa tidak puas hati secara lebih berhemah.
"Kalau dahulu, saya akan tulis di media sosial. Kali ini, saya hanya meluahkan teguran itu di WhatsApp sahaja," katanya.
Pelakon itu yang sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam industri berkata, disiplin dan komitmen menjadi kunci utama untuk terus kekal relevan.
"Saya masih berada dalam industri ini kerana disiplin dan komitmen yang saya pegang sebagai prinsip hidup sejak dahulu hingga sekarang, Alhamdulillah.
"Teguran itu dibuat supaya pelakon berkenaan menjadi lebih baik. Dahulu, pada zaman Twitter, mungkin saya akan muat naik di Twitter.
"Tapi sekarang Fasha lebih tenang. Saya tegur dalam WhatsApp sahaja. Harap-harap dia jadikan ia sebagai pengajaran," katanya.
Sebelum ini, Fasha berkongsi menerusi status WhatsApp mengenai sikap seorang pelakon yang didakwa kerap hadir lewat ke lokasi penggambaran sehingga mengganggu kelancaran jadual kerja produksi.
























