KUALA LUMPUR: Demi mencabar kemampuan diri sebagai pelakon, bintang Indonesia, Adipati Dolken sanggup keluar daripada zon selesa apabila menerima tawaran membintangi filem sulungnya di Malaysia, Mojoku Hilang!
Pelakon berusia 34 tahun itu berkata, peluang melebarkan sayap ke Malaysia bukan sekadar perkembangan kerjaya, tetapi ruang untuk menguji sejauh mana kemampuannya sebagai anak seni.
"Sebagai pelakon, saya tidak boleh sentiasa berada dalam zon selesa. Saya perlu mencabar diri dan keluar dari negara sendiri untuk melihat kemampuan saya.
"Apabila ditawarkan watak berdialek Melayu, saya rasa ia sesuatu yang menarik walaupun belum pernah melakukannya sebelum ini," katanya selepas pra tonton filem arahan Min Lim itu.
Namun, Adipati mengakui hampir berputus asa ketika melalui proses uji bakat kerana cabaran menguasai dialek Melayu yang dianggap sukar.
Katanya, dia perlu menghafal skrip panjang dalam tempoh singkat sebelum merakamkan video uji bakat.
"Skripnya sangat panjang dan sukar sehingga saya meminta masa untuk belajar serta mencari guru.
"Saya buat lebih 20 video, tetapi masih rasa tidak puas hati sehingga satu tahap saya hampir menyerah. Saya hantar video itu dengan perasaan pasrah, dapat atau tidak saya sudah tidak kisah," katanya.
Bagaimanapun, keyakinan pihak produksi terhadap bakatnya membuka peluang untuk Adipati menjayakan watak berkenaan.
Sepanjang hampir 50 hari penggambaran, Adipati turut dibantu penulis skrip, Honey Ahmad, bagi memastikan sebutan dan penggunaan dialek Melayunya tepat.
"Honey sentiasa berada di sebelah pengarah dengan menggunakan set alat dengar. Jika ada perkataan yang tidak kena dengan dialek Melayu, dia akan terus menegur menerusi walkie-talkie.
"Dia sangat membantu dari segi pemahaman skrip dan cara menjiwai karakter menerusi sebutan yang betul," katanya.
Hasil usaha itu membuahkan hasil apabila pihak produksi memuji penguasaan dialek Melayu Adipati yang semakin baik sepanjang penggambaran.
"Mulanya mereka kata saya bunyi seperti sudah setahun di Malaysia, kemudian meningkat kepada tiga tahun dan akhirnya mereka kata cara percakapan saya sudah seperti orang yang menetap 11 tahun di sini," katanya.
Menyentuh perbezaan sistem kerja antara Indonesia dan Malaysia, Adipati kagum dengan cara produksi tempatan yang lebih ringkas namun tetap profesional.
"Di Indonesia, kru boleh mencecah 200 hingga 300 orang, tetapi di sini jumlahnya tidak sampai 100 orang. Walaupun kecil, kerja tetap berjalan lancar dan kualitinya sama.
"Bagi saya, perkara paling penting ialah keserasian dan hubungan yang dibina bersama rakan produksi," katanya.
Adipati berkata, dia terbuka untuk kembali berlakon di Malaysia sekiranya menerima tawaran naskhah yang bersesuaian.
Filem Mojoku Hilang! yang mula ditayangkan pada Khamis lalu mengisahkan Adi (Adipati), seorang pengurus korporat yang menyamar sebagai orang kampung di Perlis.
Misinya adalah mendapatkan semula Mojo, seekor lembu tular yang diculik penduduk bagi menghalang syarikatnya mengambil alih tanah mereka.
Namun, keadaan berubah apabila Adi jatuh cinta dengan Ayu (Mimi Lana), gadis tempatan yang menentang syarikatnya.
Filem terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan ARGO Film itu turut dibintangi Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M Osman, Farah Ahmad, Tony Eusoff, Haeriyanto Hassan dan Gambit Saifullah.
























