KUALA LUMPUR: Pelakon Nurel Baharin, 24, sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati, Esmeer Mansor dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah di Kelab Golf Sarawak di Kuching, pada jam 8 pagi tadi.
Biarpun diburu rasa gementar sebelum akad nikah, Nurel atau nama penuh, Nurelyana Baharin bersyukur dan gembira semua urusan, lancar.
"Dari minggu lalu saya gementar dengan majlis, kawan-kawan dan keluarga dari Semenanjung Malaysia yang hendak datang. Semua itu saya risau dan fikir sama ada mereka okay atau tidak.
"Alhamdulillah, selepas nikah, saya dapat jumpa semua tetamu dan majlis lancar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bertemakan 'English Wedding', Nurel tampil dalam busana ditaja HeetamPuteh dan Sejiwa by The Gown Atelier.
Majlis pernikahan tertutup turut dihadiri rakam selebriti. Antaranya Zarif Ghazzi, Aizat Saha, Farees Asri, Aniq Suhair, Fimie Don dan ramai lagi.
Nurel menyifatkan suami matang dan memenuhi kriteria. Nurel yang juga bekas juara Dewi Remaja 2023 tidak sabar melalui fasa baharu dalam hidup selepas bergelar isteri.
"Esmeer tunjuk usaha untuk sahkan saya sebagai isteri. Dia tidak teragak untuk jumpa keluarga dan terus merancang semuanya selepas dapat 'lampu hijau'.
"Saya bersyukur sudah jadi isteri dan paling teruja untuk sesuaikan diri sebagai isteri dan pelakon.
"Esmeer tidak pernah halang saya daripada terus berkarya. Insya-Allah, saya sentiasa percaya pada rezeki Allah dan rezeki selepas berkahwin," katanya.
Nurel berharap peminat terus menyokong karier seni dan menerima dengan terbuka nasihat rumah tangga.
Dalam perkembangan lain, Nurel akan muncul dalam filem Kacau yang bakal ditayangkan, akhir tahun ini.
























