SHAH ALAM: Selepas sedekad mewarnai industri muzik, penantian panjang Syameel Aqmal Mohd Fodzly atau Syamel untuk memiliki album sulung akhirnya berakhir apabila impian yang sekian lama dipendam menjadi kenyataan menerusi Pertama, yang dilancarkan Rabu lalu.
Lebih bermakna, judul album itu dicadangkan komposer dan penerbit, Edry Abdul Halim, sebagai simbolik kepada buah tangan sulung penyanyi kelahiran Akademi Fantasia (AF) 2015 itu
Syamel, 32, berkata, setiap penyanyi pasti mengimpikan sebuah album kerana ia menjadi pencapaian penting dalam perjalanan seni mereka.
"Album ibarat sijil bagi seorang penyanyi. Saya percaya semua penyanyi mengimpikannya, tetapi soal cepat atau lambat semuanya bergantung kepada rezeki.
"Sebelum ini saya bersama beberapa syarikat rakaman, namun fokus lebih kepada penerbitan single. Keinginan untuk menghasilkan album belum benar-benar ada," katanya ketika ditemui pada majlis pra-dengar dan pelancaran album Pertama, di sini.
Menurut Syamel, penyertaannya bersama Universal Music membuka lembaran baharu apabila syarikat rakaman itu melihat dirinya sebagai artis solo, bukan sekadar dikenali sebagai pasangan kepada isterinya, Ernie Zakri.
"Buat pertama kali saya dengar mereka berkata, saya bukan 'Syamel Ernie', tetapi saya adalah Syamel. Kata-kata itu membuatkan saya berfikir dan sedar saya perlu membina kerjaya solo yang lebih kukuh.
"Dari situlah timbul semangat untuk memiliki album sendiri," katanya.
Syamel bersyukur proses menyiapkan album berjalan lancar walaupun jadualnya padat dengan komitmen kerja, termasuk memenuhi undangan di Manchester sebelum kembali berkampung di studio.
Katanya, idea untuk album itu sebenarnya sudah lama berada dalam fikirannya, namun hanya dapat direalisasikan selepas mendapat sokongan penuh daripada Universal Music.
"Saya terkejut apabila Universal Music mengajak saya menghasilkan album walaupun belum setahun bersama mereka.
"Dalam tempoh dua hingga tiga bulan menyiapkannya, saya hanya sempat berehat dua hari. Selebihnya saya berada di studio untuk menyempurnakan setiap lagu sehingga berpuas hati," katanya.
Syamel turut mengakui banyak mendapatkan pandangan Ernie serta Edry sepanjang proses pembikinan album.
Menurut Syamel, setiap lagu dipilih dengan teliti kerana dia tidak mahu menghasilkan album sekadar memenuhi impian semata-mata.
"Sepuluh tahun adalah perjalanan yang panjang. Saya mahu album ini benar-benar mencerminkan diri saya.
"Sebab itu saya bekerjasama dengan ramai komposer hebat seperti Edry, Adam Armin, Yusuff Khan, Aizat Amdan dan Mel Ramlan.
"Lagu Cukup Sekali pula dihasilkan sepenuhnya oleh saya sendiri," katanya.
Syamel berkata, meskipun album itu didominasi lagu balada, ia dibuat atas pertimbangan bahawa genre berkenaan paling dekat dengan jiwanya.
"Album ini memperkenalkan siapa Syamel yang sebenar. Jika ada rezeki menghasilkan album kedua atau ketiga nanti, mungkin saya akan bereksperimen dengan konsep berbeza," katanya.
Mengulas penerimaan peminat terhadap album itu, Syamel mengakui tetap berasa gementar walaupun yakin dengan hasil kerja yang dihasilkan.
"Perasaan takut memang ada kerana sebelum ini ada lagu yang menjadi dan ada juga yang kurang mendapat sambutan.
"Tetapi saya pegang satu pesanan supaya menghasilkan karya dengan ikhlas, bukan semata-mata mahu orang suka.
"Saya juga percaya lebih baik gagal dengan karya yang benar-benar menggambarkan diri sendiri daripada berjaya dengan sesuatu yang bukan diri kita.
"Sebab itu saya sangat puas hati dengan album ini. Apa yang berlaku selepas ini saya serahkan kepada Allah," katanya.
Syamel berkata, sokongan peminat yang tidak pernah berbelah bahagi menjadi kekuatan terbesar sepanjang menantikan kelahiran album sulungnya.
"Saya sangat menghargai peminat yang terus setia menyokong walaupun saya mengambil masa lama untuk muncul dengan album.
"Setiap kali saya berkongsi perkembangan mengenai album ini, sambutan yang diterima sangat luar biasa. Terima kasih kepada semua Syamel Lovers yang sentiasa bersama saya," katanya.
Album Pertama memuatkan enam lagu iaitu Beribu Tanda Tanya, Dalam Kenangan, Cukup Sekali, Tunjukkan Ku Bahagia, Aku Bukan Dia dan Pertama.
























