KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berpandangan teknologi kecerdasan buatan (AI) wajar dimanfaatkan sebagai pemudah cara dalam penghasilan karya seni, namun tidak seharusnya mengambil alih peranan kreativiti dan sentuhan manusia.
Menurut Siti, kemajuan teknologi perlu diraikan, tetapi penggunaannya mesti disertai pertimbangan agar nilai seni dan pemikiran kreatif terus dipelihara.
Siti berkata, AI boleh membantu memudahkan proses penghasilan lagu, namun idea dan kreativiti manusia kekal menjadi asas utama sesebuah karya.
"Kita raikan teknologi, tetapi bukan bergantung sepenuhnya kepada AI. Saya tidak menolak kemajuan ini, namun AI sepatutnya digunakan sebagai alat bantuan sahaja.
"Kita perlu tahu bila dan bagaimana menggunakannya dalam keadaan yang bersesuaian," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik penyanyi baharu, Auddra Zulkifli atau Odda, di sini, baru-baru ini.
Menurut penyanyi lagu Anta Permana itu, penggunaan AI tanpa batas boleh menjejaskan daya kreativiti pengkarya.
"Kalau sekadar dijadikan alat, saya tiada masalah. Selebihnya kita perlu menggunakan kreativiti sebagai insan yang kreatif dan inovatif.
"Barulah minda terus berkembang. Kalau semua perkara diserahkan kepada AI, kita akan menjadi lebih malas," katanya.
Dalam perkembangan lain, Siti berkata persiapan awal Konsert Tradisional Gema Bumantara kini berjalan lancar apabila konsep persembahan dan pemilihan lagu sudah dimuktamadkan.
"Konsep sudah ada dan lagu juga sudah dipilih. Sekarang saya akan mulakan latihan, terutama dari segi stamina," katanya.
Siti berkata, pasukan produksi turut mengenal pasti individu yang akan terbabit menjayakan persembahan termasuk pengarah muzik.
"Kami sudah berbincang dengan beberapa pihak dan mengenal pasti pasukan yang akan terbabit. Insya-Allah, latihan lebih intensif akan bermula pada Ogos nanti," katanya
Walaupun berpengalaman mengadakan konsert berskala besar, Siti mengakui tetap berasa gementar menjelang persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Saya memang tidak sabar, tetapi dalam masa sama tetap berdebar. Lebih-lebih lagi konsert tradisional berskala besar seperti ini yang memerlukan persiapan rapi.
"Saya hanya berdoa agar diberikan kesihatan yang baik dan segala urusan dipermudahkan," katanya.
Ditanya mengenai artis jemputan, Siti berkata pengumuman rasmi akan dibuat pada sidang media yang dijadualkan dalam masa terdekat.
Konsert Tradisional Gema Bumantara akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober depan.
Menurut Siti, konsert berkenaan menjadi hadiah istimewa buat peminat selain usaha mengangkat semula keindahan muzik tradisional agar terus relevan merentas generasi.
Pada 10 Januari lalu, Siti mencipta sejarah apabila Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza menghimpunkan kira-kira 65,000 peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil.
























