BH Online
Ringkasan Berita

Mila Jirin sebak imbau pengorbanan demi keluarga

SUBANG JAYA: Bekas juara Akademi Fantasia Musim Kelima (AF5), Mila Jirin, kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas 16 tahun memberi tumpuan kepada perniagaan bagi menyara keluarga.
Mila Jirin sebak imbau pengorbanan demi keluarga

Mila menyifatkan Tersimpan Dalam Hati sebagai simbol kebangkitan dan hadiah buat dirinya selepas lebih sedekad meninggalkan pentas nyanyian. - Foto NSTP Rohanis Shukri

SUBANG JAYA: Bekas juara Akademi Fantasia Musim Kelima (AF5), Mila Jirin, kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas 16 tahun memberi tumpuan kepada perniagaan bagi menyara keluarga.

Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 39, berkata, dia tidak pernah meninggalkan minat terhadap nyanyian, namun memilih untuk memberi keutamaan kepada tanggungjawab terhadap keluarga ketika kerjaya seninya melalui fasa suram.

Katanya, kini dia bersedia membuka lembaran baharu menerusi single Tersimpan Dalam Hati yang bakal disusuli pelancaran album.

"Nyanyian tak pernah hilang daripada diri saya. Saya cuma simpan seketika dan berharap album baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi diterima baik.

"Insya-Allah, Tersimpan Dalam Hati akan menjadi kenangan buat saya apabila usia semakin meningkat," katanya pada sidang media pelancaran single Tersimpan Dalam Hati di Bizmilla Wedding Centre, di sini, hari ini.

Mila berkata, keputusan memperlahankan kerjaya seni sebelum ini dibuat selepas pendapatannya sebagai penyanyi semakin merosot sehingga memaksanya mencari sumber rezeki lain.

"Ketika saya mengambil keputusan berundur daripada dunia seni, memang tidak dinafikan pendapatan saya merudum. Pasang surut itu ibarat musim kemarau.

"Saya terpaksa membuka restoran. Saya memasak sendiri di dapur demi mencari rezeki kerana perlu menyara keluarga.

"Saya juga yang meminta ibu bapa berhenti kerja, jadi saya perlu bangkit dan melakukan apa sahaja. Apabila terlalu lama bergelumang dalam dunia perniagaan, saya mula tertanya-tanya sama ada masih mampu untuk kembali menyanyi," katanya.

Mila kemudian tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi detik yang disifatkannya antara paling sukar sepanjang meninggalkan dunia seni.

Katanya, dia pernah menangis ketika menyaksikan Anugerah Juara Lagu (AJL) disiarkan di televisyen sewaktu sedang memasak di dapur restorannya.

"Saya sedang memasak, tetapi AJL dipasang di depan saya. Saya menangis apabila melihat rakan-rakan berjaya berdiri di pentas, sedangkan bukan saya.

"Namun, saya sentiasa percaya apabila Allah sudah menentukan waktunya, saya pasti akan kembali.

"Alhamdulillah, selepas 16 tahun Allah mengizinkan saya kembali. Saya bukan mahu menjadi sesiapa, saya cuma mahu melakukan perkara yang saya cintai sejak kecil, iaitu menyanyi," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Pada masa sama, Mila turut mendedahkan pernah berdepan kekecewaan apabila usahanya mendapatkan kerjasama daripada komposer tempatan tidak mendapat maklum balas.

"Saya pernah menghantar mesej kepada ramai komposer tempatan, tetapi ketika itu belum ada rezeki untuk mereka membalas.

"Ada juga peminat bertanya mengapa saya tidak menyanyikan lagu ciptaan komposer Malaysia. Hakikatnya, album pertama saya nanti akan menampilkan sepenuhnya lagu hasil ciptaan komposer tempatan," katanya.

Menurut Mila, pengalaman itu akhirnya membuka ruang untuk bekerjasama dengan komposer Indonesia, Ilham Baso, bagi menghasilkan Tersimpan Dalam Hati.

Katanya, lagu berentak balada moden itu mengangkat tema cinta, kerinduan, harapan dan impian yang terpendam, namun secara peribadi karya berkenaan turut mencerminkan perjalanan hidupnya sepanjang lebih sedekad sebagai usahawan, isteri, ibu dan anak seni.

Video Terkini

Berita Berkaitan