KUALA LUMPUR: Penyanyi Marsha Milan menyifatkan peluang berkongsi pentas bersama kumpulan legenda Indonesia, Ungu, pada konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur sebagai detik yang tidak pernah disangka-sangka, sekali gus merealisasikan impian yang sekian lama disimpan.
Marsha, 41, berkata, dia berasa bertuah apabila dipilih penganjur, COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment sebagai artis jemputan bagi memeriahkan konsert yang bakal berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 5 September depan.
"Sejujurnya, ketika Pasha membuat persembahan di Gegar Vaganza (GV) baru-baru ini, saya turut berada di sana. Dalam hati saya sempat terdetik, alangkah seronoknya jika suatu hari nanti dapat berkongsi pentas dan berduet dengannya.
"Apabila menerima tawaran ini, saya benar-benar gembira. Rasa seperti angan-angan kecil yang saya simpan selama ini akhirnya menjadi kenyataan," katanya dalam kenyataa, hari ini.
Marsha berkata, peluang berkongsi pentas dengan antara kumpulan paling berpengaruh di Nusantara itu adalah satu penghormatan besar buat dirinya memandangkan lagu-lagu Ungu sudah lama menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai pencinta muzik, termasuk dirinya.
Pada masa sama, Marsha berkata, meskipun kini sedang memberi tumpuan terhadap persiapan menjelang Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-40, dia tetap komited memastikan persembahannya bersama Ungu dipersiapkan sebaik mungkin.
"Kedua-duanya memang menjadi keutamaan saya. Namun, buat masa ini fokus lebih terarah kepada AJL kerana tarikhnya semakin hampir.
"Selepas itu, kami masih mempunyai masa untuk membuat persiapan bagi konsert Ungu pada September nanti," katanya.
Penyanyi lagu Hening Rindu itu berkata, pemilihan lagu untuk persembahan solonya masih dalam perbincangan, manakala lagu duet diserahkan sepenuhnya kepada Ungu.
"Buat masa ini saya masih memuktamadkan lagu untuk persembahan solo kerana mahu membawakan beberapa karya sendiri pada malam itu.
"Bagi lagu duet pula, saya serahkan kepada Ungu kerana semua lagu mereka sangat ikonik dan sarat dengan nostalgia, termasuk lagu-lagu duet mereka," katanya.
Konsert berkenaan bakal menyaksikan Ungu yang dianggotai Pasha (vokal), Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bes) dan Rowman (dram) meraikan tiga dekad perjalanan seni mereka, selain dijangka mempersembahkan lagu baharu buat kali pertama di hadapan peminat Malaysia.
























