GEORGETOWN : " I love you, Teacher (Saya sayang kamu, Cikgu)." Ungkapan itu tidak akan dilupakan Mariah Ibrahim, 60, ketika kali terakhir berbual dengan Lydia Ibtisam Abdul Wahab, 46, sebelum pelakon drama Impian Illyana itu menghembus nafas terakhir di ibu negara semalam.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor itu berkata, 'pertemuan' dengan bekas pelajarnya itu berlangsung menerusi panggilan video pada 12 Julai lalu.
Katanya, dia mengenali Lydia Ibtisam sejak arwah di Tingkatan Satu dan mengajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
"Hubungan kami sangat rapat sejak dia berusia 13 tahun dan seiring berhubung sehingga kini.
"Di sekolah, arwah adalah pelajar yang periang, pintar dan jadi penyeri dalam kelas serta disenangi rakan malah sikapnya itu masih sama sampai sekarang.
"Arwah tidak pernah menceritakan penyakitnya, walaupun sedikit terkilan namun saya faham mungkin dia tidak mahu saya risau.
"Ketika panggilan video itu, difahamkan arwah masih dirawat di ICU (Unit Rawatan Rapi) namun dia tetap mahu berbual dengan saya walaupun keadaannya sangat lemah.
"Saya berjanji mahu melawat Lydia Ibtisam minggu ini tetapi Allah SWT lebih menyayangi arwah apabila kami dapat berita mengenai pemergiannya," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mariah berkata, dia pada mulanya tidak percaya dengan khabar kematian Lydia Ibtisam selepas dihubungi ahli keluarga pelakon itu namun pada jam 1 pagi tadi, dia menangis semahu-mahunya dan mula reda.”‹
"Semasa berjumpa dengan anak sulungnya, dia beritahu bahawa ibunya (Lydia Ibtisam) sangat sayang pada saya dan sering bercerita tentang saya.
"Lydia Ibtisam Abdul Wahab, Teacher tak akan lupakan kamu sampai bila-bila," katanya lagi.
Semalam, media melaporkan pelakon itu meninggal dunia jam 4.30 petang di sebuah hospital di Kuala Lumpur, berikutan menghidap penyakit autoimun Systemic Lupus Erythematosus (SLE) yang kemudian menyerang buah pinggang sehingga menyebabkan lupus nefritis.
Allahyarham turut meninggalkan dua anak, Nor Sarah Alisya, 14 dan Mohd Adan, 10.
Sementara itu jenazah Lydia Ibtisam selamat dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi dan dihadiri ahli keluarga dan kenalan.
Suaminya, Ezam Merican berkata jenazah isterinya tiba di Masjid Jamek Hashim Yahya di sini kira-kira jam 6 pagi tadi dari ibu negara.
Katanya, urusan pengebumian berlangsung dengan lancar namun dia sedikit terkilan kerana ibu mentuanya yang berusia 82 tahun tidak dapat melihat anaknya buat kali terakhir.
"Ibu mentua tidak sihat dan kini berada di wad serta dijadualkan menjalani pembedahan kaki hari ini (di sebuah hospital di Ipoh), namun kami sudah buat panggilan video supaya dia dapat tatap wajah anak ketiganya buat kali terakhir. "Arwah merupakan isteri dan ibu yang sangat baik. Dia tidak mendidik anak dengan tunjukkan sikap garang tetapi lebih mendekati anak seperti seorang kawan." katanya.
























