BH Online
Ringkasan Berita

Tak guna baik dengan peminat tapi bermusuh sesama artis - Mimifly

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mimifly mengingatkan golongan selebriti supaya tidak membiarkan perselisihan atau sikap iri hati merosakkan hubungan sesama sendiri, sebaliknya mengutamakan semangat saling menyokong demi memperkukuh industri hiburan tempatan.
Tak guna baik dengan peminat tapi bermusuh sesama artis - Mimifly

Mimifly mengingatkan rakan artis supaya mengetepikan perselisihan dan memupuk budaya saling menghormati demi kebaikan industri. Foto NSTP/ Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Mimifly mengingatkan golongan selebriti supaya tidak membiarkan perselisihan atau sikap iri hati merosakkan hubungan sesama sendiri, sebaliknya mengutamakan semangat saling menyokong demi memperkukuh industri hiburan tempatan.

Mimifly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 38, berkata dia sentiasa berpegang kepada prinsip menjaga hubungan baik dengan semua rakan artis kerana percaya hanya insan yang berada dalam dunia seni benar-benar memahami cabaran yang dihadapi anak seni.

"Artis memerlukan artis. Saya sangat menjaga hubungan dengan rakan artis sebab bagi saya, siapa lagi yang hendak memahami kita?

"Saya faham kalau berlaku drama atau salah faham dalam kalangan selebriti. Namun, kalau boleh dielakkan, kita jagalah hubungan itu.

"Tak guna kita baik dengan peminat atau pengikut di media sosial, tetapi dengan orang dalam industri sendiri, kita gagal memupuk semangat kasih sayang dan saling menyokong," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Atilia Haron In Concert di Dancing Fish, The Campus, Ampang, dekat sini, semalam.

Mimifly hadir bagi memberikan sokongan kepada sahabat baiknya, Atilia Haron, yang bakal mengadakan konsert pada 19 September depan.

Menurut Mimifly, hanya golongan artis benar-benar memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi seseorang penggiat seni.

"Artis perlukan artis kerana artis yang boleh menyokong artis dan memahami keperluan serta kehendak mereka. Bagi saya, hubungan sesama artis sangat penting.

"Itulah sebabnya saya sentiasa menjaga hubungan dengan semua orang, tidak kiralah Atilia, Adira atau sesiapa sahaja. Tambahan pula, industri kita ini kecil.

"Sangat mudah untuk menyebarkan unsur toksik, negatif atau mengapi-apikan keadaan. Itu memang senang. Tetapi untuk memupuk kasih sayang, semangat positif dan saling menghargai antara satu sama lain, itulah yang sukar.

"Nak menyayangi sebaik-baik ciptaan Tuhan, itulah cabaran sebenar," katanya.

Penyanyi lagu Angkat itu turut mengingatkan supaya setiap individu mengelakkan sikap cepat menghukum atau memendam rasa iri hati terhadap orang lain.

"Itu sebab apabila kita bekerja dengan orang baharu, kita sendiri perlu memupuk rasa kasih terhadap mereka. Jangan terlalu cepat membuat andaian sama ada kita suka atau tidak kepada seseorang.

"Perasaan yang baik perlu dipupuk kerana lebih mudah untuk menyebarkan perkara negatif.

"Sangat mudah untuk menghakimi tanpa usul periksa. Itu yang saya cuba elakkan kerana bagi saya, persahabatan sesama artis sangat penting. Apabila kita bersatu dan sepakat, banyak perkara baik boleh dilakukan untuk industri," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan