KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran, Datuk Elaine Kang selamat menjalani pembedahan memasang peranti khas (implant) di Singapura selepas disahkan menghidap penyakit Sleep Apnea yang serius.
Menerusi sesi siaran langsung di TikTok semalam, Elaine, 61, berkongsi dia sering mengalami rasa mengantuk secara melampau sehingga hampir terjatuh daripada kerusi ketika berada di kafe mahupun di rumah, meskipun mendapat tidur yang mencukupi selama lapan jam sehari.
"Keadaan mengantuk secara tiba-tiba ini berlaku terlalu kerap, kira-kira 200 hingga 300 kali. Kerana rasa tidak sedap hati, saya mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Doktor menyarankan saya menjalani ujian tidur (sleep study) di hospital selama satu malam dengan pelbagai wayar dipasang dari kepala hingga ke kaki," katanya.
Menurut penyanyi lagu Sejahtera Malaysia itu, hasil ujian berkenaan amat mengejutkan apabila pernafasannya dikesan terhenti secara tidak sedar melebihi 300 kali sepanjang tempoh enam jam dia tidur di hospital.
Jelasnya lagi, laporan ujian itu turut mendapati dia langsung tidak mempunyai fasa mimpi sewaktu tidur, manakala pakar mengesahkan keadaannya itu amat kritikal dan boleh membahayakan nyawa.
Walaupun penyakit Sleep Apnea selalunya dikaitkan dengan individu berbadan besar, Elaine yang berbadan kecil tetap berdepan risiko tinggi itu sehingga memaksanya merujuk kepada tujuh orang pakar perubatan sebelum membuat keputusan menjalani pembedahan di luar negara.
"Peranti khas yang ditanam pada bahagian dada kanan saya ini berfungsi dengan bateri yang mampu bertahan sehingga 10 tahun, di mana ia disambungkan dengan dua urat wayar menerusi bahagian leher.
"Prosedur pembedahan ini hanya boleh dilakukan di beberapa negara seperti Singapura, Jepun, China dan Amerika Syarikat," katanya.
Dalam pada itu, Elaine turut menitipkan pesanan buat orang ramai dan pengikutnya agar tidak memandang remeh isu berkaitan gangguan tidur.
Elaine menasihati mana-mana individu yang kerap mengantuk luar biasa atau berdepan masalah tidur untuk segera menjalani ujian sleep study di hospital kerana ujian darah biasa tidak mampu mengesan masalah berkenaan.
"Saya berharap perkongsian ini dapat memberi kesedaran. Jangan ambil mudah kerana ramai orang yang kita dengar 'pergi' (meninggal dunia) secara mengejut sewaktu tidur disebabkan masalah ini," katanya.
























