BH Online
Ringkasan Berita

Travelog Geng Bijak Berbajet angkat konsep pelancongan berhemat

KUALA LUMPUR: Dalam keadaan kos sara hidup yang terus menjadi perhatian masyarakat, amalan mengurus perbelanjaan secara bijak semakin penting termasuk ketika bercuti.
Travelog Geng Bijak Berbajet angkat konsep pelancongan berhemat

Siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet menghimpunkan barisan selebriti dalam usaha mempromosikan pelancongan berhemat di Malaysia. Foto NSTP/Nur Liyana Mohd Noorzally

KUALA LUMPUR: Dalam keadaan kos sara hidup yang terus menjadi perhatian masyarakat, amalan mengurus perbelanjaan secara bijak semakin penting termasuk ketika bercuti.

Menyedari keperluan itu, TV3 dan Hotlink sekali lagi berganding bahu menerusi pelancaran Siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet, yang mengetengahkan konsep pengembaraan berhemat menerusi perkongsian tip percutian dan gaya hidup pintar.

Kempen yang sebelum ini mencuri perhatian menerusi siri drama kini tampil dengan pendekatan baharu apabila mengetengahkan format travelog yang mempromosikan destinasi menarik di Malaysia tanpa memerlukan perbelanjaan besar.

Dihoskan pelakon popular, Kamal Adli selaku Ketua Geng Bijak Berbajet, siri enam episod itu turut menampilkan Hael Husaini, Nabila Razali, Siti Saleha, Zaki Yamani, Auddra Zulkifli, Izzue Islam dan Ain Edruce.

Mereka menjelajah enam negeri di seluruh negara bagi membuktikan pengalaman percutian yang menyeronokkan masih boleh dinikmati walaupun dengan bajet terhad.

Setiap episod berdurasi antara tiga hingga lima minit menggabungkan elemen realiti, ulasan makanan, aktiviti pelancongan serta perkongsian tip berjimat cermat yang dekat dengan gaya hidup masyarakat.

Dalam setiap episod, Kamal bersama selebriti jemputan diberi cabaran mengurus bajet harian antara RM70 hingga RM100 bagi dua atau tiga individu.

Mereka perlu merancang perbelanjaan untuk meneroka lokasi pelancongan, menikmati makanan tempatan dan mencuba pelbagai aktiviti di destinasi yang dipilih.

Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA Agency Solutions, Stephanie Wong, berkata kerjasama dengan Hotlink menjadi platform terbaik menghasilkan kandungan digital yang lebih segar, interaktif dan dekat dengan gaya hidup penonton.

Katanya, siri travelog itu turut menyampaikan mesej pengurusan kewangan secara santai menerusi kandungan yang menghiburkan serta mudah difahami.

"Siri travelog ini dihasilkan menerusi kerjasama erat bagi menyampaikan mesej pengurusan kewangan secara semula jadi melalui gaya hidup masyarakat urban yang gemar mengembara.

"Sebagai rakan strategik jangka panjang, kami bangga dapat bersama Hotlink memupuk budaya berhemat menerusi kandungan yang menyeronokkan, bermanfaat dan mudah dikongsi di platform televisyen serta digital," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Pertumbuhan Maxis, Yeoh Sun Loo, berkata konsep Geng Bijak Berbajet selari dengan keperluan pengguna yang kini lebih mengutamakan pengalaman berkualiti tanpa perlu berbelanja secara berlebihan.

"Semangat GBB amat dekat dengan gaya hidup pengguna hari ini kerana semakin ramai mahukan pengalaman yang bermakna tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.

"Susulan sambutan menggalakkan terhadap siri drama tahun lalu, kami teruja membawakan siri travelog yang menawarkan lebih banyak tip berbelanja secara berbaloi. Kami berharap pengguna memperoleh nilai terbaik dalam setiap perjalanan dan kehidupan harian mereka," katanya.

Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian Maryam sempena pelancaran video muzik rasmi Hotlink GBB, selain tayangan eksklusif episod pertama serta persembahan istimewa daripada Zaki Yamani, Nabila Razali dan Hael Husaini.

Siri itu akan disiarkan di TV3 bermula 29 Julai ini, manakala versi digital boleh ditonton setiap Khamis bermula 30 Julai menerusi TikTok @hotlink.official dan @tv3malaysia serta Instagram @hotlinkred dan @tv3malaysia.

Video Terkini

Berita Berkaitan