KUALA LUMPUR: Selepas sedekad menyimpan kisah peribadi, penyanyi Vince Chong, 47, akhirnya membuka suara mengenai perjuangannya berdepan gangguan bipolar demi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan bantuan profesional.
Pendedahan itu dibuat juara Akademi Fantasia (AF) 1 itu menerusi program audio siar Kita Kita Aje Podcast bersama Datuk Aznil Nawawi.
Menurut Vince, perkara berkenaan terlalu peribadi untuk dikongsikan sebelum ini, namun dia memilih untuk berterus terang selepas menyedari masih ramai yang kurang memahami isu kesihatan mental.
Vince berkata, dia disahkan menghidap bipolar jenis 2 pada 2015 selepas keluarganya menyedari perubahan emosi yang ketara pada dirinya.
"Kakak saya mula menyedari selepas menonton program mengenai bipolar membabitkan penyanyi Hollywood, Britney Spears.
"Keluarga kemudian meminta saya berjumpa pakar psikiatri dan selepas pemeriksaan, saya disahkan menghidap bipolar jenis 2.
"Saya sangat berterima kasih kepada kakak kerana jika bukan disebabkan dia, mungkin sehingga hari ini saya tidak tahu keadaan sebenar saya," katanya.
Vince mengakui ketika melalui fasa kemurungan, dia lebih gemar mengasingkan diri dan mengelak bertemu orang ramai kerana hilang keyakinan diri.
"Ketika itu saya rasa saya tidak boleh berjaya atau melakukan apa-apa. Saya hanya mahu bersembunyi daripada dunia.
"Saya pernah menolak pelbagai tawaran kerja kerana tidak mahu berdepan dengan orang ramai. Saya lebih banyak duduk dalam bilik dan tidak mahu keluar," katanya.
Pada peringkat awal, Vince turut mengakui sukar menerima hakikat dirinya mempunyai masalah kesihatan mental sehingga berada dalam fasa penafian.
"Saya ada masalah sukar mengawal kemarahan sehingga kadang-kadang menyakiti orang lain tanpa sedar.
"Tetapi selepas mendapat diagnosis, saya menerima hakikat dan sedar langkah pertama untuk mendapatkan bantuan adalah mengakui kita mempunyai masalah," katanya.
Vince berkata, dia menjalani rawatan termasuk mengambil ubat bagi membantu menstabilkan emosi sebelum tidak lagi bergantung kepada ubat sejak kira-kira empat atau lima tahun lalu.
Katanya, perubahan gaya hidup seperti mendapatkan tidur mencukupi, bersenam dan memberi tumpuan kepada keluarga banyak membantu dirinya menjadi lebih baik.
"Apabila sudah menjadi bapa, cara saya melihat kehidupan berubah. Saya mula memberi keutamaan kepada keluarga dan menjaga kesihatan diri.
"Saya rasa perkara itu banyak membantu saya sehingga berada dalam keadaan yang jauh lebih baik sekarang," katanya.
Dalam masa sama, Vince menyifatkan isterinya, Fiona Edward, sebagai insan yang sentiasa berada di sisinya ketika berdepan perubahan emosi.
"Isteri saya tahu keadaan saya sejak awal tetapi dia tetap menerima dan menyayangi saya.
"Dia banyak bersabar dengan perubahan mood saya. Dia penat, tetapi tidak pernah berputus asa. Dia adalah wira saya," katanya.
Vince berharap perkongsiannya dapat membuka mata mereka yang mengalami simptom sama supaya tidak takut mendapatkan bantuan pakar.
Katanya, gangguan bipolar bukan alasan untuk seseorang berputus asa, sebaliknya perlu ditangani dengan rawatan yang betul.
"Ramai orang salah faham mengenai keadaan ini, tetapi saya tidak menjadikannya sebagai alasan.
"Saya berkongsi kerana mungkin ada orang di luar sana mengalami perkara sama tetapi tidak menyedari masalah yang dihadapi.
"Jangan cari jalan mudah seperti mengambil dadah. Sebaliknya, dapatkan bantuan profesional dan rawatan yang betul," katanya.
























