KUALA LUMPUR: Pelakon Shahz Jaszle yakin kemunculan drama bersiri pendek dalam format menegak (vertikal) yang semakin popular di TikTok tidak akan mengancam drama televisyen (TV) sehingga menjejaskan pendapatan pelakon.
Shahz, 37, tidak menafikan format drama pendek itu semakin mendapat tempat, namun, menganggap pelakon tidak perlu bimbang kerana kerjaya mereka tidak terkesan.
Sebaliknya, Shahz yang membintangi siri drama mikro Impian di Seoul arahan Umi Omar berkata, kadar bayaran yang diterima hampir sama seperti berlakon drama TV.
"Pelakon tidak perlu takut kerana bayarannya masih sama. Malah, mungkin ada sesetengah platform penstriman (OTT) tawarkan bayaran lebih tinggi berbanding drama TV. Percayalah, rezeki ada di mana-mana.
"Cuma mungkin bagi mereka yang belum biasa, akan gusar dengan konsep drama menegak, terutama apabila dimaklumkan penggambaran membabitkan sehingga 50 episod. Mereka mungkin membayangkan tempoh penggambaran mengambil masa berbulan-bulan.
"Hakikatnya tidak. Penggambaran hanya mengambil masa antara tiga hingga lima hari kerana setiap episod drama mikro hanya berdurasi kira-kira tiga minit. Namun, kadar bayarannya hampir sama dengan drama bersiri 13 episod," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Impian di Seoul di sini, baru-baru ini.
Mengulas mengenai kepuasan berlakon dalam drama mikro, Shahz mengakui pengalaman itu berbeza berbanding drama TV.
Tambahnya, antara cabaran utama ialah memastikan pelakon sentiasa berada dalam bingkai kamera memandangkan keseluruhan penggambaran menggunakan format menegak.
"Pada hari pertama penggambaran, saya rasa janggal kerana beberapa kali terkeluar daripada bingkai kamera. Agak sukar juga pada awalnya untuk sesuaikan diri kerana sudah terbiasa dengan format kamera melintang.
"Daripada segi kepuasan berlakon pun berbeza. Saya rasa tidak puas kerana setiap episod hanya tiga minit.
"Jadi, apabila hendak tampilkan ekspresi, kami perlu beri sepenuh penghayatan kerana setiap episod berakhir dengan babak tergantung (cliffhanger) bagi menarik penonton mengikuti episod seterusnya. Ini sama seperti drama pendek dari China atau Barat yang popular di TikTok.
"Sebagai pelakon, kita perlu sesuaikan diri dengan format drama menegak yang semakin mendapat sambutan," katanya.
Impian di Seoul mengisahkan kesinambungan percintaan Omar lakonan Khai Bahar dan Hanna lakonan Wany Hasrita, yang turut menampilkan kemunculan watak ketiga penuh misteri. Musim kedua itu menguji hubungan mereka dengan pelbagai cabaran dan takdir baharu.
Siri berkenaan yang ditayangkan sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) Ke-9 di ibu negara, baru-baru ini, mula menemui penonton secara eksklusif menerusi akaun TikTok NONGSHIM Malaysia, Sabtu lalu.
























