BH Online
Ringkasan Berita

Upacara penghormatan terakhir Bonnie Tyler disiar secara langsung

WALES: Peminat dari seluruh dunia berpeluang menyaksikan upacara penghormatan terakhir legenda muzik Wales, mendiang Bonnie Tyler, menerusi siaran langsung dalam talian pada 17 Ogos depan.
Upacara penghormatan terakhir Bonnie Tyler disiar secara langsung

Upacara penghormatan terakhir Tyler akan disiarkan secara langsung untuk tatapan peminat seluruh dunia. Foto Reuters

WALES: Peminat dari seluruh dunia berpeluang menyaksikan upacara penghormatan terakhir legenda muzik Wales, mendiang Bonnie Tyler, menerusi siaran langsung dalam talian pada 17 Ogos depan.

Memetik laporan BBC, upacara berkenaan yang dikhaskan untuk ahli keluarga dan tetamu jemputan akan berlangsung di Gereja St Mary, Swansea, sebelum disiarkan menerusi laman web rasmi penyanyi itu.

Selepas upacara selesai, perarakan jenazah akan dibawa ke bandar kelahirannya di Skewen, Neath Port Talbot, dengan melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 1.20 tengah hari waktu tempatan.

Peminat yang hadir ke gereja turut berpeluang mengikuti upacara berkenaan menerusi skrin televisyen yang disediakan di luar pekarangan gereja.

Sebelum itu, keranda mendiang akan dibawa ke kediamannya di Mumbles pada 15 Ogos, jam 3.30 petang, sebelum orang ramai dijemput memberikan penghormatan terakhir dengan berhimpun di sepanjang Newton Road.

Tyler atau nama sebenarnya Gaynor Hopkins mencipta sejarah apabila menjadi artis Wales pertama yang berjaya menduduki carta nombor satu di Amerika Syarikat menerusi lagu popularnya, Total Eclipse of the Heart.

Selain lagu ikonik itu, Tyler turut dikenali menerusi beberapa karya popular lain termasuk Holding Out For A Hero dan Here She Comes.

Mendiang meninggalkan suami, Robert Sullivan, yang dikahwini selama lebih lima dekad.

Pemergian Tyler mengundang kesedihan dalam kalangan rakan artis dan tokoh terkenal dunia.

Aktres pemenang Oscar, Catherine Zeta-Jones, dilapor menyifatkan hatinya hancur dengan berita kehilangan penyanyi berkenaan.

Putera Wales turut memberi penghormatan dengan menyifatkan Tyler sebagai ikon Wales yang membanggakan, manakala legenda muzik, Sir Cliff Richard, meluahkan kesedihan atas kehilangan seorang lagi sahabat yang pergi terlalu awal.

Pada Mei lalu, Tyler dilapor diletakkan dalam keadaan koma selepas menjalani pembedahan kecemasan berkaitan usus di Portugal.

Bulan lalu, jurucakapnya memaklumkan mendiang sudah sedar daripada koma, namun masih berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Tyler dilapor menghembuskan nafas terakhir pada 8 Julai lalu pada usia 75 tahun di sebuah hospital di Portugal akibat komplikasi penyakit yang dihidapinya. -AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan