KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama bergelumang dalam dunia seni, pelakon dan pengarah, Hafiz Nafiah, menemukan sisi kehidupan berbeza apabila berpeluang berkhidmat di Tanah Suci, bukan lagi sebagai tetamu Allah SWT, sebaliknya menggalas amanah sebagai mutawif.
Hafiz, 42, menganggap peluang itu bukan sekadar tanggungjawab, tetapi rezeki istimewa yang mengajarnya erti keikhlasan dan betapa besarnya nikmat apabila diberi peluang berada di bumi penuh barakah itu.
Hafiz yang mengarah filem Mat Kola terbitan 2023 mengakui pengalaman menguruskan jemaah haji membuka perspektif baharu dalam kehidupan kerana tugas itu bukan hanya membimbing ibadat, malah berkongsi ilmu, menyampaikan penghayatan serta membantu jemaah memahami sejarah di sebalik setiap lokasi diziarahi.
Berkongsi pengalaman sebagai mutawif, Hafiz berkata, ada ketika jemaah menitiskan air mata apabila mendengar kisah perjuangan Rasulullah SAW yang terus berdakwah meskipun berdepan pelbagai ujian dan kesukaran.
"Apabila kita membawa jemaah ke Tanah Suci, mereka bukan sekadar datang melihat tempat, tetapi menghayati sejarah dan mengambil pengajaran daripada perjalanan hidup Rasulullah SAW serta para sahabat.
"Antara lokasi yang kami kunjungi ialah Kota Taif, kawasan tanah tinggi di Arab Saudi yang menyimpan banyak sejarah penting dalam Islam. Di situlah Rasulullah SAW meneruskan dakwah ketika baginda sedang bersedih selepas kehilangan bapa saudara, Abu Talib dan isteri tercinta, Saidatina Khadijah.
"Kami menceritakan kisah itu kepada jemaah sepanjang perjalanan menaiki bas ke Kota Taif. Cara penyampaian sangat penting supaya mesej yang disampaikan benar-benar menyentuh hati dan mereka dapat merasai apa yang dilalui Rasulullah SAW ketika itu.
"Apabila melihat ada jemaah menangis, saya berasa sangat bersyukur kerana mesej yang ingin disampaikan berjaya menyentuh hati mereka. Sebagai petugas, saya berasa bertuah dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan spiritual mereka," katanya kepada BH Online.
Mengakui tugas mutawif bukan mudah, Hafiz berkata, setiap mutawif perlu memiliki kesabaran tinggi serta kebijaksanaan mengendalikan pelbagai situasi sepanjang berada di Tanah Suci.
Tambahnya, setiap jemaah hadir dengan latar belakang, tahap pemahaman dan keperluan yang berbeza, sekali gus memerlukan pendekatan berhati-hati supaya mereka sentiasa berasa dihargai dan diberi perhatian.
"Kadang-kadang sesuatu masalah itu bukan berpunca daripada pihak kami, namun, kami tetap perlu menjelaskan keadaan sebenar kepada jemaah.
"Kita perlu tahu cara mengendalikan setiap situasi supaya jemaah sentiasa berada dalam keadaan selesa dan tenang.
"Sebagai mutawif, kami juga memerlukan ketahanan fizikal dan mental kerana perlu sentiasa memastikan kebajikan jemaah terpelihara sepanjang berada di Tanah Suci," katanya.
Hafiz menganggap dirinya perlu terus menguasai ilmu mutawif dan berguru dengan mereka yang lebih berpengalaman.
"Sebenarnya, saya tidak berani menggelarkan diri sebagai mutawif. Saya lebih selesa menganggap diri sebagai petugas atau ketua kumpulan yang membantu jemaah.
"Bagi saya, mutawif pikul tanggungjawab yang besar. Seseorang itu perlu menguasai hukum-hakam, sirah Nabi serta pelbagai ilmu berkaitan supaya setiap perkara yang disampaikan kepada jemaah adalah tepat.
"Sebab itu, sebelum menerima amanah ini, saya banyak membaca dan berguru dengan mereka yang lebih lama berkecimpung dalam bidang ini," ujarnya.
Mengulas kepercayaan yang diberika kepadanya, Hafiz menyifatkan peluang berkhidmat sebagai mutawif sebagai rezeki yang amat besar dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
Akuinya, biarpun sudah menjejakkan kaki ke pelbagai negara termasuk di Eropah, pengalaman berada di Tanah Suci tetap mempunyai makna yang sangat berbeza kerana ia bukan sekadar perjalanan, sebaliknya, jemputan daripada Allah SWT.
"Saya sangat bersyukur. Saya sudah mengembara ke banyak negara, tetapi walaupun seseorang itu mempunyai wang berjuta-juta ringgit, belum tentu dia dapat menjejakkan kaki ke Tanah Haram jika Allah SWT belum izinkan.
"Sebab itu saya percaya semuanya adalah aturan Allah SWT. Saya rasa sangat bertuah kerana dalam tahun yang sama diberi peluang menunaikan umrah buat kali pertama sebelum dipanggil menunaikan ibadat haji.
"Alhamdulillah, kini sudah tahun kedua saya diberi kesempatan berkhidmat sebagai mutawif," katanya.
Walaupun masih aktif dalam dunia seni, Hafiz yang juga Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) berkata, pengalaman sebagai mutawif menjadi komitmen yang sukar diketepikan setiap kali menerima panggilan untuk membantu jemaah.
"Sekiranya diberi peluang dan khidmat saya diperlukan, saya akan cuba meluangkan masa kerana menganggap peluang berkhidmat di Tanah Suci sebagai satu amanah yang besar.
"Saya akan susun semula jadual kerja kerana peluang seperti ini bukan semua orang dapat," katanya.
Hafiz turut menitipkan pesanan kepada bakal jemaah yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci supaya tidak terlalu dibelenggu perasaan takut atau merasakan diri tidak layak.
"Apabila Allah SWT sudah menjemput kita, itu bermakna Dia memberi peluang untuk kita berubah dan mendekatkan diri kepada-Nya.
"Jangan terlalu takut. Apa yang penting, kuasai perkara asas ibadat dan sentiasa bertanya kepada petugas sekiranya ada perkara yang tidak difahami," katanya.
























