KUALA LUMPUR: Pelakon Harissa Adlynn mendedahkan pernah didekati pelakon lelaki yang sudah berpunya, namun memilih untuk tidak melayan demi menjaga maruah diri, keluarga dan profesionalisme sebagai anak seni.
Harissa atau nama sebenarnya Harissa Adlynn Abdul Halim, 23, berkata pengalaman itu berlaku beberapa tahun lalu dan menganggap situasi sedemikian bukan sesuatu yang asing dalam industri.
"Saya memang tidak melayan perkara seperti itu. Saya rasa ramai pelakon pernah berdepan situasi sama, termasuk pelakon lelaki.
"Walaupun saya mesra dengan rakan sekerja, saya tidak pernah memberi perhatian berlebihan hingga membuatkan mereka beranggapan saya menyukai mereka. Profesionalisme di set adalah keutamaan," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran siri premium Astro Originals, Keluang Man The Series, di Lembaga Getah Malaysia, di sini, semalam.
Harissa berkata, dia enggan terjebak dengan 'cinta lokasi' kerana tidak mahu reputasi yang dibina tercalar.
"Kalau suatu hari nanti saya mempunyai perasaan terhadap pelakon gandingan sekalipun, saya tidak akan memulakan apa-apa ketika bekerja. Apa juga yang berlaku, biarlah di luar waktu kerja.
"Saya sudah bekerja keras menjaga nama sendiri dan keluarga. Jika ada yang membuatkan saya tidak selesa, menjadi tanggungjawab saya menghentikannya sebelum ia menjadi lebih serius," katanya.
Pelakon drama Isteri Rahsia Ungku Jaabar itu berkata, dia sentiasa menetapkan batas kerana menganggap set penggambaran adalah tempat mencari rezeki.
"Saya banyak buat hal sendiri dan selalunya bersama pembantu peribadi (PA). Sebagai pendatang baharu, saya rasa bertanggungjawab untuk tidak membiarkan budaya seperti ini berterusan," katanya.
Harissa berkata, sepanjang bergandingan dengan Keith Foo dalam Isteri Rahsia Ungku Jaabar, hubungan mereka kekal profesional walaupun berkawan rapat.
"Sebaik pengarah menyebut 'cut', kami akan kembali ke tempat masing-masing. Kami saling menghormati. Saya tahu dia mempunyai teman wanita dan saya tidak mahu timbul salah faham," katanya.
Dalam perkembangan lain, Harissa kini menjalani penggambaran Keluang Man The Series arahan Zahir Omar dan Syahmi Norsan yang dijangka ditayangkan tahun depan.
Siri tujuh episod itu turut dibintangi Nas-T, Anwaar Beg Moghal, Shweta Sekhon, Trisha Ooi, Azhar Sulaiman, Rusdi Ramli dan Sabri Yunus, serta mengisahkan Borhan yang melarikan diri dari hospital mental sebelum berdepan konflik diri dan kuasa hitam yang mengancam Tumpoi.
























