KUALA LUMPUR: Gelaran isteri yang disandang pelakon Mimi Lana bukan sekadar mengubah status dirinya, malah turut mengubah cara membuat keputusan dalam kerjaya apabila kini lebih berhati-hati menerima tawaran lakonan, terutama membabitkan watak romantik.
Mimi berkata, setiap tawaran yang diterima selepas mendirikan rumah tangga akan dibincangkan terlebih dahulu dengan suaminya, pelakon Syafiq Kyle, termasuk jika membabitkan filem atau drama bergenre komedi romantik.
Pelakon berusia 30 tahun itu menjelaskan, adegan romantis bersama pelakon Indonesia, Adipati Dolken dalam filem terbaharu, Mojoku Hilang!, dirakam pada Januari tahun lalu ketika dia masih belum berkahwin.
"Saya rasa selepas berkahwin, banyak perkara berubah terutama dari segi membuat keputusan dan memilih watak.
"Dulu saya bukan isteri orang, sekarang saya sudah bergelar isteri. Jadi, banyak perkara yang saya perlu bertanya dan berbincang dengan suami terlebih dahulu.
"Setakat ini saya belum menerima sebarang projek komedi romantik selepas berkahwin, jadi saya sendiri tidak tahu bagaimana situasinya nanti.
"Apa yang pasti, setiap keputusan untuk menerima tawaran lakonan selepas ini perlulah mendapat keizinan suami terlebih dahulu," katanya ketika ditemui pada tayangan media filem Mojoku Hilang! di TGV, Suria KLCC, baru-baru ini.
Dalam filem arahan Min Lim itu, Mimi memegang watak Ayu, gadis kampung yang menjadi perhatian Adi lakonan Adipati Dolken.
Bagaimanapun, katanya, penonton tidak perlu membuat sebarang andaian terhadap adegan romantis yang dipaparkan kerana keseluruhan penggambaran dilakukan sebelum dia bergelar isteri.
Dalam perkembangan lain, Mimi mengakui berdebar menantikan reaksi penonton apabila buat pertama kali mempertaruhkan bakat nyanyian menerusi filem berkenaan.
Katanya, kekangan jadual menyebabkan dia tidak sempat mengikuti kelas vokal secara formal, namun mendapatkan tunjuk ajar daripada sahabat baiknya yang juga anggota De Fam, Azira Shafinaz.
"Saya banyak bertanya dengan Azira sebab tidak berkesempatan mengikuti kelas vokal kerana sibuk dengan penggambaran filem ini di Perlis.
"Tetapi, Min Lim turut menyediakan guru vokal dari Amerika Syarikat yang dibawa khas ke Perlis untuk membimbing saya.
"Saya rasa sangat bertuah kerana produksi filem ini menyediakan pelbagai kemudahan dan keperluan untuk memudahkan kami sebagai pelakon," katanya yang menyampaikan dua lagu berjudul Terlalu Istimewa dan Sama-sama.
Pada masa sama, Mimi menegaskan belum berhasrat mengembangkan kerjaya sebagai penyanyi kerana minat utamanya kekal dalam bidang lakonan.
Namun, dia mengakui menyimpan impian untuk membintangi filem muzikal sekiranya diberi peluang pada masa depan.
"Kita ada filem muzikal, tetapi tidak banyak. Sama juga seperti filem komedi romantik, ada tetapi terhad.
"Perancangan untuk menghasilkan single memang belum terfikir. Mungkin kalau menyanyi lagi, hanya untuk filem," katanya.
Mojoku Hilang! mengisahkan Adi, seorang pengurus korporat yang menyamar sebagai penduduk kampung di Perlis bagi mendapatkan semula Mojo, seekor lembu yang menjadi tular selepas diculik penduduk bagi menghalang syarikatnya mengambil alih tanah mereka.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila Adi jatuh cinta dengan Ayu, gadis tempatan yang paling lantang menentang syarikat berkenaan.
Selain Mimi dan Adipati, filem terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan ARGO Film itu turut dibintangi Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Farah Ahmad, Tony Eusoff, Haeriyanto Hassan dan Gambit Saifullah.
























