KUALA LUMPUR: Kesetiaan peminat menjadi suntikan semangat terbesar buat penyanyi, Atilia Haron, apabila sepasang suami isteri sanggup menghulurkan RM20,000 bagi membantu menjayakan Atilia Haron In Concert yang bakal berlangsung di Robert's Theatre, The Campus Ampang, pada 19 September ini.
Atilia, 52, berkata, pasangan terbabit pada asalnya mahu membeli tujuh tiket konsert, namun sebaliknya menyerahkan wang berjumlah RM20,000 sebagai tanda sokongan terhadap perjalanan seninya.
"Peminat itu bertanya mahu duduk di mana. Saya kata, duduk atas pentas pun boleh.
"Saya tidak mempunyai peminat yang ramai, tetapi mereka yang ada sangat setia. Kesetiaan mereka membuatkan saya rasa mahu terus mengadakan konsert.
"Mana ada peminat seperti itu? Masya-Allah, saya sangat menghargai individu seperti ini kerana mereka benar-benar menghargai saya," katanya pada sidang media Atilia Haron In Concert di The Campus Ampang, di sini, hari ini.
Atilia yang juga anak kepada penyanyi veteran, Salamiah Hassan, mengakui bukan mudah mendapatkan penaja bagi menganjurkan konsert, terutama bagi penyanyi sepertinya.
Katanya, pengalaman menganjurkan konsert Gelombang Bahagia bersama ibunya sebelum ini menjadi pengajaran apabila mereka terpaksa menanggung sendiri keseluruhan kos penganjuran.
"Mama pernah berpesan supaya jangan rugi. Ketika konsert Gelombang Bahagia, kami tidak mempunyai penaja, jadi semuanya saya tanggung sendiri.
"Saya membelanjakan wang yang banyak, tetapi saya tidak mahu menggunakan duit Mama kerana impian saya memang mahu berkongsi pentas dengannya.
"Kali ini Mama juga risau. Apabila ada penaja dan sokongan daripada peminat, saya benar-benar terharu," katanya.
Atilia berkata, dia turut memohon geran bagi membantu membiayai kos penganjuran, namun masih menunggu keputusan.
"Kalau geran itu diluluskan, semuanya akan menjadi lebih mudah kerana saya perlu menanggung kos penerbangan, penginapan dan pelbagai perbelanjaan lain untuk membawa kumpulan Sore dari Indonesia. Itu yang membuatkan Mama sangat risau," katanya.
Atilia berkata, sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat setia menjadi pemangkin untuk memberikan persembahan terbaik pada konsert berkenaan.
"Saya sangat berbesar hati. Pasangan itu hadir ke hampir setiap persembahan saya sejak dahulu. Isterinya pun datang bertongkat.
"Sebab itu saya mahu memberikan yang terbaik dalam konsert ini sebagai tanda penghargaan kepada semua peminat yang sentiasa bersama saya," katanya.
Konsert solo itu menjadi antara detik penting dalam perjalanan seni Atilia apabila tampil dengan persembahan berskala besar yang mengetengahkan evolusi identiti seninya.
Persembahan berdurasi 90 minit itu bakal menghimpunkan lebih 40 lagu daripada katalog muziknya menerusi susunan baharu, karya terkini serta beberapa duet istimewa yang mencerminkan sisi peribadi dan kreatifnya.
Konsert itu turut menampilkan kumpulan muzik terkenal dari Indonesia, Sore Ze Band, sebagai artis jemputan yang juga memainkan peranan penting dalam pembentukan hala tuju artistik persembahan berkenaan.
























