BH Online
Ringkasan Berita

Lydia Ibtisam meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat komplikasi penyakit autoimun, pelakon Lydia Ibtisam menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 petang di sebuah hospital di sini, hari ini.
Lydia Ibtisam meninggal dunia

Allahyarham Lydia menghembuskan nafas terakhir hari ini selepas bertarung dengan komplikasi penyakit autoimun. - Foto Media Sosial

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat komplikasi penyakit autoimun, pelakon Lydia Ibtisam menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 petang di sebuah hospital di sini, hari ini.

Allahyarham Lydia, 46, dilaporkan meninggal dunia selepas penyakit autoimun yang dihidapinya menyerang buah pinggang, selain mengalami jangkitan virus pada perut, paru-paru dan darah.

Berita pemergian pelakon itu disahkan teman baiknya, Elliza Razak, menerusi hantaran di Instagram Story (IGs).

"Al-Fatihah sahabat, Nur Ibtisam binti Abdul Wahab. Mohon hadiahkan beliau doa yang indah-indah," tulis Elliza.

Allahyarham Lydia dilaporkan menjalani pembedahan, Isnin lalu susulan komplikasi penyakit autoimun yang dihidapinya, selain mengalami jangkitan kuman.

Bagaimanapun, keadaan kesihatan arwah Lydia semakin kritikal sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Suami arwah, iaitu Ezam Merican mengesahkan pemergian isteri dan memaklumkan jenazah akan dibawa ke Masjid Jamek Hashim Yahya, Georgetown, Pulau Pinang, petang ini.

Sebelum ini, Ezam dilapor memaklumkan tekanan darah Lydia berada dalam keadaan stabil, namun, mengakui isterinya masih berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan pemantauan rapi.

Pemergian Allahyarham Lydia disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat industri hiburan tanah air. Arwah mencipta nama menerusi beberapa drama popular pada akhir 1990-an dan awal 2000-an.

Antara karya yang melonjakkan namanya ialah drama bersiri Impian Ilyana, selain sitkom Dunia Anita yang menyaksikan Allahyarham Lydia membawa watak Zaitun, iaitu sahabat baik Anita lakonan Siti Fazurina.

Allahyarham Lydia turut membintangi drama Realiti sebagai Dayang, teman wanita kepada Amir yang dilakonkan Zizan Nin, selain drama Natasha.

Bukan sekadar berbakat dalam bidang lakonan, Allahyarham Lydia memiliki bakat nyanyian apabila pernah menyampaikan lagu tema drama Impian Ilyana, selain lagu Pilihlah Aku, iaitu lagu tema sitkom Dunia Anita.

Sepanjang bergelar anak seni, Allahyarham Lydia dikenali sebagai pelakon versatil dan komited terhadap setiap watak yang dipertanggungjawabkan, sekali gus meninggalkan kenangan manis kepada rakan industri serta peminat.

Allahyarhamah Lydia meninggalkan suami, Ezam Merican dan dua anak.

Video Terkini

Berita Berkaitan