PUTRAJAYA: Pelakon Ali Reza mengakui pernah berdepan tekanan apabila merasakan perjalanan kerjaya seninya tidak berkembang sepantas rakan seangkatan yang terlebih dahulu mencipta nama dalam industri hiburan.
Namun, selepas enam tahun bertapak dalam industri, pelakon itu memilih untuk berhenti membandingkan diri dengan orang lain dan percaya setiap anak seni mempunyai rezeki serta waktu tersendiri untuk menyerlah.
Ali atau nama penuhnya Ali Reza Kavoossi, 29, berkata dia pernah berdepan tekanan apabila melihat kejayaan rakan seangkatan, namun pengalaman mematangkannya untuk melihat setiap perjalanan hidup dari sudut yang lebih positif.
"Saya pernah fikir mengenai perkara itu, tetapi lama-kelamaan saya sedar ia hanya membuatkan saya terlalu banyak berfikir. Selepas enam tahun dalam industri, saya rasa diri semakin matang, lebih berdikari dan mampu membawa diri dengan baik, alhamdulillah.
"Pada awalnya memang saya melihat keadaan itu sebagai satu tekanan, tetapi akhirnya saya anggap semuanya sebahagian daripada perjalanan hidup.
"Apabila kita selalu membandingkan diri dengan orang lain dan memikirkan mereka lebih popular, sebenarnya ia tidak membantu perasaan kita. Jadi sekarang saya lebih fokus kepada apa yang sedang saya lakukan dan percaya semua perkara memerlukan masa," katanya ketika ditemui pada sidang media drama Bulan Henti Bicara di Bizmilla Putrajaya, baru-baru ini.
Menurut Ali, kerjaya sebagai pelakon banyak membentuk dirinya menjadi individu lebih matang menerusi pengalaman yang dikutip sepanjang berada di lokasi penggambaran.
"Masih banyak pengalaman yang belum saya lalui dalam hidup. Sebagai pelakon, setiap penggambaran memberi peluang untuk saya belajar dan mematangkan diri.
"Insya-Allah, jika ada tawaran baharu selepas ini, saya percaya ia akan menjadi satu lagi pengembaraan dan pengalaman yang berharga. Saya hanya mahu terus fokus dan menikmati setiap perjalanan," katanya.
Mengulas mengenai rakan seangkatan yang lebih dahulu mencipta nama, Ali menegaskan dia tidak pernah berasa iri hati kerana percaya setiap pelakon mempunyai titik perubahan atau tipping point masing-masing.
"Setiap orang ada masa untuk menyerlah. Ada yang cepat mencipta nama dan ada yang mengambil masa lebih lama. Saya percaya pada rezeki dan perjalanan yang sudah ditentukan untuk saya," katanya.
Dalam masa sama, Ali mengakui sebelum ini dia mungkin terlalu selesa dengan perjalanan kerjaya yang dilaluinya, namun peluang membawakan watak lebih mencabar kini membuka ruang untuk membuktikan kemampuan sebenar sebagai pelakon.
"Apabila ditawarkan watak seperti sekarang, saya terus terima kerana peluang seperti ini bukan selalu datang. Saya mahu orang melihat saya bukan hanya mampu membawa watak romantik, tetapi juga pelbagai karakter lain.
"Bukan bermaksud watak romantik tidak mencabar, tetapi sebagai pelakon kita perlu ada kepelbagaian supaya kemampuan kita dapat dilihat. Mungkin sebelum ini saya belum diberi naskhah yang benar-benar mencabar, tetapi sekarang saya mahu terus melangkah ke hadapan," katanya.
Ali turut bersyukur apabila terus menerima kepercayaan daripada penerbit untuk membintangi pelbagai naskhah, termasuk memegang watak utama dalam beberapa projek.
"Alhamdulillah, sejak September hingga sekarang saya bekerja tanpa henti. Memang penat dari segi fizikal, mental dan emosi, tetapi inilah perjalanan yang saya perlukan untuk terus berkembang sebagai pelakon.
"Kebanyakan tawaran yang saya terima juga sebagai watak utama dan saya anggap ia satu kepercayaan yang perlu dijaga sebaik mungkin," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ali bakal membintangi drama Bulan Henti Bicara sebagai Afgan, kekasih kepada Zulfa lakonan Ezzany Jasny yang terpaksa menerima takdir menjadi isteri kedua kepada Jamali, lakonan Azhan Rani.
Drama arahan Eyra Rahman itu turut dibintangi Azar Azmi dan akan menemui penonton menerusi slot Melodrama Astro bermula 27 Julai ini.
























