KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menerima pengiktirafan Ijazah Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media daripada Sunway University sebagai menghargai sumbangan cemerlang serta dedikasinya dalam memperkasa industri muzik dan seni kreatif tanah air.
Berita gembira itu dikongsikan penyanyi nombor satu negara itu menerusi Instagram miliknya, hari ini.
Menurut penyanyi lagu Anta Permana itu, pengiktirafan diterima bukan sekadar penghargaan terhadap perjalanan seninya, malah turut dianggap sebagai pengiktirafan kepada seluruh warga industri muzik dan seni kreatif negara.
"Syukur alhamdulillah. Pengiktirafan Ijazah Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media daripada Sunway University ini adalah satu penghormatan yang sangat besar.
"Ini bukan sahaja penghargaan kepada perjalanan seni saya, tetapi juga satu pengiktirafan tertinggi buat seluruh warga industri muzik dan seni kreatif tanah air.
"Terima kasih kepada pihak pengurusan Sunway University atas penghormatan yang cukup bermakna ini," katanya.
Siti berkata, pengiktirafan itu membuktikan bidang seni kreatif dan media kini semakin diiktiraf sebagai profesion yang berprestij serta mendapat penghormatan daripada institusi akademik.
"Semoga anugerah ini menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dan pengamal seni tempatan untuk terus berkarya dengan mutu tinggi, beretika serta mengangkat seni budaya negara ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Pada Istiadat Konvokesyen Sunway University itu, Siti turut menghiburkan tetamu dengan mempersembahkan lagu Sejarah.
Pengiktirafan berkenaan diberikan sebagai menghargai sumbangan cemerlang serta perjalanan seni beliau yang memberi inspirasi kepada industri hiburan negara.
Sebelum ini, pada 2019, Siti turut menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Selebriti daripada Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai mengiktiraf sumbangan besarnya kepada industri hiburan tanah air.
























