SHAH ALAM: Walaupun hampir lima tahun berlalu sejak kali terakhir menyampaikan lagu Bila Kau Tiada, penyanyi Syamel mengakui luka kehilangan ibu tercinta masih belum sembuh sehingga dia belum mampu menyanyikan karya itu sekali lagi di hadapan khalayak.
Syamel berkata, lagu yang ditulis khas buat Allahyarham Wan Faaizah Karim itu terlalu dekat di hati dan setiap kali cuba menyanyikannya, kerinduan terhadap arwah ibunya kembali menguasai emosi.
"Lagu itu saya tulis selepas pemergian umi pada 2021 dan memang didedikasikan khas buat arwah. Saya hanya pernah menyanyikannya sekali sahaja ketika Konsert Syamel dan Ernie Zakri: Aku Cinta pada 2022. Itulah kali pertama dan juga kali terakhir.
"Sehingga kini saya masih belum mampu menyanyikan lagu itu secara langsung kerana emosi saya pasti terganggu apabila teringatkan umi," katanya ketika ditemui pada majlis pra-dengar eksklusif dan pelancaran album sulungnya, Pertama, di sini, semalam
Penyanyi berusia 32 tahun itu turut meluahkan rasa terkilan apabila arwah ibunya tidak sempat menyaksikan detik penting dalam perjalanan seninya apabila berjaya menghasilkan album sulung selepas sedekad bergelar penyanyi.
Katanya, sepanjang proses menghasilkan enam lagu yang dimuatkan dalam album terbitan Universal Music itu, wajah arwah ibunya sentiasa bermain di fikiran, terutama ketika merakamkan lagu Dalam Kenangan yang mengangkat tema kehilangan insan tersayang.
"Sudah tentu saya teringatkan arwah umi kerana dialah insan yang paling rapat dengan saya. Bukan hanya Dalam Kenangan, malah semua lagu dalam album ini sentiasa mengingatkan saya kepada umi, termasuk Aku Bukan Dia, Pertama dan juga lagu rancak.
"Saya sedih kerana umi tidak berkesempatan mendengar lagu-lagu dan album pertama saya. Jika bukan kerana sokongan dan dorongan umi, mungkin saya tidak berada pada tahap ini. Umi adalah insan yang menggalakkan saya menceburi bidang nyanyian.
"Jadi, segala rintihan yang disampaikan dalam setiap lagu dalam album ini datang daripada kesedihan yang benar-benar saya lalui.
"Apabila merakamkan sesebuah lagu, kita perlu berada dalam emosi itu supaya pendengar dapat merasai dan menghayatinya. Sejujurnya, proses itu bukan mudah kerana ia sangat berbeza berbanding membuat persembahan secara langsung," katanya.
Selain Dalam Kenangan, album Pertama turut memuatkan lagu Aku Bukan Dia, Beribu Tanda Tanya, Tunjukkan Ku Bahagia, Cukuplah Sekali dan lagu judul, Pertama.
Lagu Dalam Kenangan dan Beribu Tanda Tanya dirakamkan di Manchester bersama komposer dan penerbit, Edry Abdul Halim.
























