SUNGAI BULOH: Tiga nama terbesar dalam sejarah muzik rock tanah air bakal menggegarkan Mega Star Arena apabila Search, Wings dan XPDC bergabung buat julung kali menerusi Konsert Tiga Veto pada 1 Ogos depan, sekali gus mencipta detik yang disifatkan mungkin sukar berulang dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menjanjikan persembahan hampir tiga jam dengan lebih 30 lagu, penganjur mahu konsert itu menjadi pengalaman eksklusif buat peminat apabila ketiga-tiga kumpulan legenda berkongsi pentas dalam satu malam.
Penganjur, Ikhram Zainuddin atau Atom, berkata gabungan tiga kumpulan rock itu bukan saja bersejarah, malah berkemungkinan menjadi satu-satunya peluang untuk peminat menyaksikan mereka beraksi bersama dalam tempoh terdekat berikutan komitmen masing-masing.
"Ini kali pertama Search, Wings dan XPDC bergabung. Mungkin juga yang terakhir untuk tempoh dua tahun kerana masing-masing sibuk dengan jadual sendiri.
"Apa yang boleh kami janjikan ialah sebuah persembahan luar biasa dan berkualiti daripada ketiga-tiga kumpulan.
"Kami pastikan momentum konsert tidak akan jatuh. Sebaliknya, ia akan terus memuncak sehingga finale apabila ketiga-tiga kumpulan bergabung di atas pentas.
"Kami mahu peminat pulang dengan pengalaman yang sukar dilupakan," katanya ketika sesi latihan dan jamming Konsert Tiga Veto, di sini, baru-baru ini.
Menurut Atom, usaha menghimpunkan tiga kumpulan legenda itu bermula sejak tahun lalu dan mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak.
"Saya mula mengajak mereka sejak tahun lalu. Alhamdulillah, semua memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang tiga bulan promosi.
"Bukan saja artis, malah pihak pengurusan, kru teknikal dan pasukan produksi setiap kumpulan turut memainkan peranan besar dalam menjayakan konsert ini," katanya.
Dalam perkembangan sama, Atom berkata sambutan terhadap Konsert Tiga Veto amat memberangsangkan apabila hanya kira-kira 500 tiket daripada kapasiti 5,000 penonton masih belum terjual.
"Selalunya peminat membeli satu tiket untuk menyaksikan satu kumpulan, tetapi kali ini ibarat beli satu dapat tiga.
"Mereka yang membeli tiket Konsert Tiga Veto cukup bertuah kerana dapat menyaksikan tiga kumpulan legenda dalam satu malam.
"Memang kapasiti itu tidak besar, tetapi kami mahu ia menjadi pengalaman eksklusif kepada mereka yang hadir," katanya.
Sementara itu, vokalis Wings, Datuk Awie, yakin setiap kumpulan akan memberikan persembahan terbaik kerana masing-masing mahu tampil cemerlang di hadapan peminat.
"Saya yakin ketiga-tiga kumpulan akan buat yang terbaik. Tiada siapa mahu gagal, dibandingkan atau dikritik.
"Sebab itu saya percaya penonton akan merasai 'vibes' yang berbeza berbanding konsert lain," katanya.
Awie berkata, susunan lagu dan sistem bunyi turut diberikan perhatian khusus bagi memastikan persembahan berlangsung lancar tanpa menjejaskan momentum.
"Konsert ini tidak ada waktu rehat. Habis satu kumpulan, terus disambung dengan kumpulan lain.
"Jadi, penyusunan lagu perlu dibuat dengan teliti supaya kesinambungan persembahan terjaga dan tidak kelihatan berserabut.
"Selain itu, kami juga memberi tumpuan kepada sistem bunyi kerana setiap kumpulan mempunyai karakter bunyi berbeza. Itulah antara elemen yang akan membezakan konsert ini," katanya.
Pemain bass XPDC, Eddie, berkata Konsert Tiga Veto turut mencipta sejarah apabila menjadi kali pertama kumpulan itu berkongsi pentas dengan Wings, meskipun sebelum ini pernah beberapa kali bekerjasama dengan Search.
"Ini memang kali pertama XPDC bergabung dengan Wings.
"Walaupun kapasiti Mega Star Arena hanya 5,000 penonton, kami lebih memberi fokus kepada kualiti sistem bunyi dan pencahayaan pentas supaya peminat memperoleh pengalaman terbaik," katanya
Sementara itu, vokalis Search, Pasya, berkata persiapan kumpulannya berjalan lancar dengan kira-kira 80 peratus senarai lagu sudah dimuktamadkan hasil latihan intensif.
"Anggota Search banyak membantu sepanjang latihan.
"Setakat ini semuanya berjalan lancar dan alhamdulillah kesihatan semua juga berada dalam keadaan baik," katanya.
Konsert Tiga Veto akan dimulakan dengan persembahan pembukaan Kyoji Band sebelum persembahan utama bermula jam 8.15 malam.
























