BH Online
Ringkasan Berita

Album Oasis pintas The Beatles dalam carta sepanjang zaman

LONDON: Album kedua kumpulan rock Britain, Oasis, (What’s The Story) Morning Glory?, mencipta sejarah apabila secara rasmi mengatasi album ikonik The Beatles, Sgt. Pepper’s Lonely Hearts Club Band, dalam senarai album paling laris sepanjang zaman di United Kingdom (UK), lapor BBC.
Album Oasis pintas The Beatles dalam carta sepanjang zaman

Kejayaan jelajah reunion Oasis tahun lalu membantu menghidupkan semula populariti album (What’s The Story) Morning Glory?. - Foto Reuters

LONDON: Album kedua kumpulan rock Britain, Oasis, (What's The Story) Morning Glory?, mencipta sejarah apabila secara rasmi mengatasi album ikonik The Beatles, Sgt. Pepper's Lonely Hearts Club Band, dalam senarai album paling laris sepanjang zaman di United Kingdom (UK), lapor BBC.

Berdasarkan senarai terbaharu yang diterbitkan Official Charts Company sempena ulang tahun ke-70 Carta Album UK, album yang dilancarkan pada 1995 itu kini berada di tangga ketiga keseluruhan, sekali gus melonjak mengatasi karya legenda The Beatles yang kini berada di kedudukan kelima.

Album Queen Greatest Hits keluaran 1981 dilapor terus kekal sebagai album paling laris sepanjang zaman di UK, diikuti ABBA Gold di tempat kedua, manakala album 21 nyanyian Adele naik ke tangga keempat.

Official Charts Company memaklumkan (What's The Story) Morning Glory? merekodkan sebanyak 6.2 juta unit carta, merangkumi jualan fizikal, digital dan penstriman.

Kejayaan itu turut dipacu kebangkitan semula populariti Oasis susulan jelajah konsert reunion yang berlangsung tahun lalu.

Antara lagu yang kembali menjadi siulan ramai menerusi jelajah itu ialah Wonderwall, Don't Look Back in Anger, Some Might Say dan Champagne Supernova.

Ketika dilancarkan pada Oktober 1995, (What's The Story) Morning Glory? dilapor menerima ulasan bercampur-campur daripada pengkritik muzik Britain.

Bagaimanapun, album berkenaan akhirnya diiktiraf sebagai Album British Terbaik pada Anugerah BRIT 1996 dan terus dianggap antara karya paling berpengaruh dalam sejarah muzik Britain.

Lagu Wonderwall kembali mencuri perhatian apabila sering dinyanyikan penyokong serta pemain England sepanjang saingan Piala Dunia di Amerika Utara, manakala Don't Look Back in Anger terus mempunyai nilai sentimental selepas menjadi lagu yang dinyanyikan orang ramai ketika upacara memperingati mangsa serangan Manchester Arena pada 2017.

Laporan itu menyebut, Pemangku Pengarah Urusan Bersama Official Charts, Becca Monahan dan Chris Austin, menyifatkan pengaruh album itu masih utuh meskipun sudah tiga dekad berada dalam pasaran.

"Tiga dekad kemudian, skala dan pengaruh album ini masih luar biasa. Ia menjadi karya ikonik Britain yang terus menyatukan pelbagai generasi, memenuhi stadium dan menjadi latar kepada kehidupan ramai peminat," kata mereka, lapor BBC.

Pada 2022, album kompilasi Queen Greatest Hits menjadi album pertama melepasi tujuh juta unit carta di UK.

Setakat ini, hanya ABBA Gold turut berjaya melepasi angka berkenaan.

Dalam tempoh sedekad lalu, album Rumours nyanyian Fleetwood Mac dan Legend oleh Bob Marley turut berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 album paling laris sepanjang zaman.

Olivia Rodrigo kuasai era penstriman

Bersempena ulang tahun ke-70 Carta Album UK, Official Charts Company turut menerbitkan senarai album paling banyak distrim bagi dekad 2020-an.

Album Sour nyanyian Olivia Rodrigo menduduki tangga teratas selepas berada selama 268 minggu dalam carta sejak dilancarkan pada Jun 2021.

Album itu mengatasi = nyanyian Ed Sheeran dan Folklore oleh Taylor Swift.

Taylor Swift turut mempunyai dua album dalam kelompok 10 terbaik, bersama karya Sabrina Carpenter, Noah Kahan, Dua Lipa, Harry Styles, SZA dan mendiang Pop Smoke.

Carta Album UK mula diperkenalkan pada 22 Julai 1956, dengan album Songs for Swingin' Lovers! nyanyian Frank Sinatra muncul sebagai album pertama menduduki tangga teratas. - AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan