KUALA LUMPUR: Malam yang sepatutnya menjadi medan meraikan muzik indie tempatan bertukar menjadi ujian kesabaran apabila Konsert Indiescovery 2026 di Zepp Kuala Lumpur, Sabtu lalu, bermula hampir satu jam lewat daripada jadual asal.
Kelewatan itu nyata mengundang rungutan dalam kalangan penonton yang menunggu lama di luar dewan, namun kemunculan Butterfingers, Bittersweet, Bunkface dan Kugiran Masdo akhirnya berjaya menebus sebahagian besar kekecewaan menerusi persembahan penuh bertenaga yang menggegarkan pentas.
Menurut penganjur, kelewatan berlaku susulan masalah teknikal.
Pada jam 8.30 malam, penonton masih dilihat beratur panjang di luar pintu masuk Zepp Kuala Lumpur, sedangkan konsert dijadualkan bermula pada jam 8 malam.
Situasi itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat yang terpaksa menunggu lama sebelum dibenarkan memasuki dewan.
Konsert hanya bermula kira-kira jam 9.10 malam, manakala di platform Threads, ramai penonton meluahkan rasa kecewa terhadap pengurusan acara, khususnya membabitkan kelewatan membuka pintu masuk dan permulaan persembahan.

Selain itu, pertukaran pentas antara kumpulan turut mengambil masa agak lama, mencecah hampir 30 minit bagi setiap sesi.
Bagi mengisi masa menunggu, hos mengadakan sesi soal jawab, selain mengagihkan cenderamata seperti kemeja-T kepada penonton.
Bagaimanapun, ramai berpendapat adalah lebih wajar sekiranya penganjur, RR Entertainment, tampil memberikan penjelasan serta memohon maaf secara terbuka kepada penonton atas kelewatan itu.
Apa yang kurang dari sudut pengurusan akhirnya berjaya ditebus menerusi persembahan mantap keempat-empat kumpulan yang sememangnya terkenal dengan kemampuan menguasai pentas dan menghidupkan suasana.
Kugiran Masdo diberi penghormatan membuka tirai konsert dengan rangkaian lagu Lautan Asmara, Begini Jadinya, Janji Manis, Esokkan Ada Lagi, Dinda, Bercanda Di Malam Indah dan single terbaharu, Teristimewa.
Vokalisnya, Ali Sariah, meluahkan rasa bangga apabila berpeluang berkongsi pentas bersama kumpulan yang menjadi sumber inspirasi mereka.
"Saya mewakili rakan Masdo berasa sangat bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada konsert ini.
"Butterfingers, Bittersweet dan Bunkface ialah antara kumpulan yang kami membesar dengan melihat persembahan mereka.
"Apabila dapat berkongsi pentas bersama mereka hari ini, ia benar-benar satu penghormatan. Terima kasih kepada RR Entertainment kerana merealisasikan impian kami," katanya.
Antara detik paling mencuri perhatian ialah apabila vokalis Bittersweet, Fizan, terjatuh ketika menyampaikan lagu kedua.
Namun, insiden itu langsung tidak mematahkan semangatnya apabila dia segera bangkit sebelum meneruskan persembahan tanpa menjejaskan kualiti vokal, mahupun persembahan.
Komitmen dipamerkan Fizan menerima sorakan gemuruh penonton dan menjadi antara momen paling diingati sepanjang konsert.
Butterfingers pula membawa penonton mengimbau nostalgia menerusi Girl Friday, lagu pertama yang pernah ditulis dan dirakam kumpulan itu sekitar 1994 ketika masih aktif dalam arena muzik bawah tanah.
Kumpulan legenda itu turut menghangatkan suasana menerusi E, Skew Still River, Love dan Delirium yang terus mengundang nyanyian beramai-ramai daripada peminat.
Bunkface menutup malam penuh nostalgia itu dengan aksi bertenaga menerusi lagu Panik, Dunia, Ekstravaganza, Rentak Laguku, Darah Muda, Situasi dan Revolusi.
Konsert berakhir hampir jam 1 pagi, sekali gus menutup malam yang meninggalkan dua cerita berbeza iaitu kelemahan dari aspek pengurusan, namun cemerlang dari sudut persembahan.
























