PUTRAJAYA: Pelakon Ezzanie Jasny menjelaskan luahan mengenai rasa kecewa terhadap individu yang "cakap tidak serupa bikin" serta kesukarannya mempercayai kata-kata manusia yang dimuat naik di platform Threads baru-baru ini bukan ditujukan kepada mana-mana pihak, sebaliknya sekadar eksperimen sosial bagi melihat reaksi netizen.
Ezzanie atau nama penuhnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, berkata, perkongsian itu hanya mewakili suara netizen yang sering aktif memberikan pandangan di platform berkenaan.
"Saya tidak tujukan kepada sesiapa pun. Saya bukan mahu mencetuskan apa-apa, saya hanya mewakili suara netizen. Lagipun saya suka netizen di platform Threads ini sebab mereka suka memberi maklum balas.
"Jadi saya terdetik untuk mencuba memuat naik sesuatu sekadar eksperimen sosial. Tiada siapa yang suruh dan saya pun tidak takut dengan balasan di ruangan komen kerana saya memang tidak tujukan kepada mana-mana pihak.
"Saya juga tidak rasa ada sesiapa yang terasa dengan apa yang saya tulis itu," katanya ketika ditemui pada sidang media drama Bulan Henti Bicara di Bizmilla Putrajaya, di sini, semalam.
Pelakon itu berkata, perkongsian berkenaan dibuat secara spontan bagi menghilangkan kebosanan, selain mahu melihat sendiri reaksi dan pandangan netizen terhadap isu yang dibangkitkan.
"Kadang-kadang kita bosan, jadi terasa hendak buat sesuatu. Otak saya memang sudah banyak berfikir mengenai kerja, jadi saya mahu membaca komen-komen netizen di Threads," katanya.
Mengulas tanggapan segelintir pihak yang menganggap Threads sebagai platform toksik, Ezzanie berkata, pengalaman dilaluinya setakat ini lebih banyak dipenuhi kandungan positif.
"Mungkin sebab algoritma. Saya pula selalu mencari perkara yang positif, jadi tidak banyak kandungan negatif muncul di Threads saya.
"Setakat ini, komen pada perkongsian itu semuanya positif. Alhamdulillah," katanya.
Terdahulu, Ezzanie mencuri perhatian apabila memuat naik luahan mengenai soal kepercayaan dalam persahabatan.
"Penat dengan manusia yang cakap tidak serupa bikin. Inilah punca aku susah percaya kata-kata manusia. Semoga selepas ini aku menjadi manusia yang lebih bijak memilih siapa yang mahu dijadikan kawan," tulisnya.
























