KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menyuarakan kebimbangan serta kekecewaan berhubung industri muzik tanah air yang dianggarkan hampir 70 peratus daripada kutipan royalti persembahan awam iaitu kira-kira RM140 juta daripada keseluruhan RM200 juta disalurkan kepada pihak luar, terutamanya syarikat asing.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, isu berkenaan antara masalah utama yang dibincangkan dalam Konvensyen Penggiat Muzik baru-baru ini, apabila keputusan telah dicapai untuk menyerahkan memorandum cadangan penyelesaian terus kepada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, memorandum itu menggesa campur tangan kerajaan untuk mengambil alih penuh kerja-kerja kutipan dan pengagihan royalti persembahan muzik di tempat awam bagi memastikan hak penggiat muzik tempatan terbela serta prosesnya dilaksanakan secara lebih telus.
Selain isu pengagihan royalti, KARYAWAN turut mengetengahkan isu lambakan muzik luar yang dimainkan di premis awam dan menuntut pelaksanaannya dikawal ketat.
"Kami akan menuntut agar satu kuota minimum 50 peratus muzik tempatan diwajibkan ke atas semua premis komersial.
"Ia perlu dikuatkuasakan secara tegas menerusi satu platform berpusat yang mampu memantau serta mengaudit pematuhan premis secara tepat," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Bercerita lanjut, Freddie menegaskan tuntutan berkenaan bukanlah sesuatu yang keterlaluan kerana negara luar seperti Perancis dan Korea Selatan sudah lama melaksanakan kuota kandungan tempatan di tempat awam dan siaran radio demi melindungi industri seni tempatan.
"Jika mereka boleh berdiri teguh mempertahankan seni bangsa sendiri, tiada sebab Malaysia tidak mampu berbuat demikian.
"Sudah tiba masanya premis komersial yang meraih keuntungan di bumi Malaysia turut memikul tanggungjawab menyokong muzik anak Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, draf memorandum berkenaan kini telah siap sepenuhnya, namun KARYAWAN mengambil pendekatan untuk menangguhkan penyerahannya sehingga semua pilihan raya yang berlangsung selesai bagi memastikan ia mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.
























