KUALA LUMPUR: Penyanyi Wany Hasrita memilih memakai sarung tangan setiap kali menghadiri acara rasmi sebagai usaha menjaga batas pergaulan dengan lelaki bukan mahram, selain menghormati budaya masyarakat luar yang menganggap bersalaman sebagai tanda hormat.
Wany yang dilantik sebagai duta rasmi jenama mi segera Korea, Nongshim SHIN Ramyun, berkata tanggungjawab itu menuntutnya kerap berurusan dengan wakil syarikat dari Korea Selatan yang kurang memahami batas pergaulan dalam Islam.
Katanya, dia perlu bijak menyesuaikan diri dengan perbezaan budaya tanpa mengabaikan pegangan agama supaya kedua-dua pihak dapat terus saling menghormati.
"Saya takut hendak mengulas perkara ini kerana semuanya bergantung kepada pendirian masing-masing. Sejujurnya, saya faham kadang-kadang sukar untuk menolak apabila ada yang menghulurkan salam.
"Contohnya tadi, saya terpaksa menjelaskan kepada pihak atasan dari Korea bahawa saya sedang berwuduk. Alhamdulillah, mereka sangat memahami selepas saya terangkan sebabnya.
"Dalam kalangan umat Islam, kita hanya bersalaman dengan mahram. Tetapi bagi orang Korea, bersalaman adalah tanda hormat. Jadi, inisiatif yang boleh saya ambil adalah memakai sarung tangan.
"Walaupun usaha itu mungkin tidak seberapa, sekurang-kurangnya saya cuba mengelakkan daripada menyinggung perasaan orang," katanya pada majlis pratonton eksklusif mikrodrama Impian Di Seoul sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) Ke-9, di sini, semalam.
Penyanyi lagu Menahan Rindu itu berkata, meskipun memakai sarung tangan, dia tetap mengelakkan diri daripada bersalaman dengan lelaki bukan mahram jika keadaan tidak memerlukan.
"Kalau boleh elak, memang saya akan elak. Jika boleh saya minimumkan daripada bersalaman dengan orang yang bukan mahram, saya akan buat begitu walaupun sudah memakai sarung tangan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Wany kembali bergandingan dengan Khai Bahar menerusi musim kedua mikrodrama TikTok, Impian Di Seoul, terbitan Nongshim SHIN Ramyun.
Siri itu adalah kesinambungan kepada kejayaan Salju Di Busan dengan menampilkan jalan cerita lebih dramatik, konflik emosi yang lebih mendalam serta pelbagai babak tergantung sempena penganjuran MIFFest Ke-9.
























