BH Online
Ringkasan Berita

Siti Saleha utamakan privasi anak sulung

KUALA LUMPUR: Bergelar ibu buat pertama kali mengubah banyak perkara dalam kehidupan pelakon, Siti Saleha apabila kini setiap keputusan dibuat dengan lebih berhati-hati, terutama membabitkan pendedahan anak sulungnya, Indra Mateen Fitton kepada umum.
Siti Saleha utamakan privasi anak sulung

Siti Saleha tetap mengutamakan privasi anaknya walaupun terbuka berkongsi momen bersama Indra Mateen menerusi kempen tertentu. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Bergelar ibu buat pertama kali mengubah banyak perkara dalam kehidupan pelakon, Siti Saleha apabila kini setiap keputusan dibuat dengan lebih berhati-hati, terutama membabitkan pendedahan anak sulungnya, Indra Mateen Fitton kepada umum.

Meskipun tidak menolak peluang berkongsi momen bersama cahaya mata menerusi kempen pengiklanan, Siti Saleha, 36, tetap menetapkan batas tertentu demi menjaga privasi dan keselamatan si kecil.

Menurut Saleha, peluang bekerjasama bersama anak sebenarnya sudah hadir sebelum kelahiran Indra Mateen lagi apabila dia dilantik sebagai duta jenama kelengkapan bayi, Mothercare.

"Memang ada beberapa kempen yang saya lakukan bersama anak. Sebelum bersalin lagi saya sudah dilantik sebagai duta Mothercare.

"Pihak mereka ada bertanya sama ada saya bersedia memperkenalkan bayi selepas bersalin. Saya terbuka, cuma saya mahu tunggu sehingga benar-benar bersedia untuk menunjukkan wajah anak kepada umum.

"Pada masa sama, saya tetap berhati-hati dan tidak mahu terlalu banyak mendedahkan tentang dirinya. Saya anggap semua ini sebagai rezeki untuk anak," katanya ketika ditemui pada sesi apresiasi media Hotlink Geng Bijak Berbajet (GBB) Next Chapter di TV3 Common Area, Balai Berita, baru-baru ini.

Tambah pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu, ada juga tawaran kempen yang bukan berkaitan produk bayi, namun pihak jenama tetap berminat menampilkan anaknya kerana melihat nilai tersendiri yang dibawa si kecil.

"Kadang-kadang produk itu bukan produk bayi, tetapi mereka tetap mahu memasukkan bayi dalam video. Saya sebenarnya cuba elakkan, tetapi mereka tetap mahu.

"Jadi saya ikut sahaja. Memang betul orang kata anak itu pembawa rezeki dan saya percaya perkara itu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Saleha mengakui semakin menikmati fasa baharu sebagai seorang ibu apabila dapat menyaksikan sendiri setiap perubahan kecil yang berlaku pada putera kesayangannya itu.

"Sekarang semua benda dia mahu masukkan ke dalam mulut. Dia sudah pandai minum menggunakan straw dan mula makan makanan pejal.

"Saya kagum kerana dalam tempoh tiga hari sahaja dia sudah boleh minum menggunakan straw. Dia juga semakin banyak membebel dan bercakap.

"Saya rasa dia mula menggunakan kaki dengan kuat. Mungkin dia akan berjalan dahulu sebelum merangkak. Saya rasa dia agak cepat membesar," katanya.

Bagaimanapun, kehadiran cahaya mata membuatkan Sally berbelah bahagi untuk kembali aktif dalam dunia lakonan walaupun sudah menerima beberapa tawaran.

"Saya memang sudah menerima beberapa tawaran berlakon, cuma saya tidak mahu terlepas momen penting anak membesar. Kalau boleh saya mahu tangguhkan dahulu.

"Tetapi sekarang apabila melihat banyak drama menarik, saya mula rasa rindu untuk kembali berlakon.

"Mungkin dalam beberapa bulan lagi saya akan kembali ke set penggambaran, insya-Allah," katanya.

Untuk rekod, Sally mendirikan rumah tangga bersama pereka fesyen, Joshua Fitton pada 15 Februari 2025 dan dikurniakan cahaya mata sulung, Indra Mateen Fitton pada 3 Januari lalu.

Video Terkini

Berita Berkaitan