BH Online
Ringkasan Berita

Nabila bertahan dengan sistem sokongan

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali mengakui dirinya bukan individu paling layak memberi nasihat kepada bakat baharu kerana menganggap dia masih melalui proses pembelajaran dalam industri seni.
Nabila bertahan dengan sistem sokongan

Nabila menjelaskan sokongan keluarga, suami, anak dan pasukan pengurusan menjadi kekuatan untuk terus bertahan dalam industri hiburan.Foto NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali mengakui dirinya bukan individu paling layak memberi nasihat kepada bakat baharu kerana menganggap dia masih melalui proses pembelajaran dalam industri seni.

Sebaliknya, Nabila berkata, dia hanya mampu berkongsi pengalaman sendiri dalam mengharungi pelbagai cabaran sepanjang membina kerjaya sebagai anak seni.

Akuinya, perjalanan yang dilalui bukan mudah, namun, sokongan keluarga, pasukan pengurusan, selain suami dan anak menjadi kekuatan untuk terus bertahan.

"Saya bukanlah terlalu 'senior' untuk beri nasihat. Saya tidak ada tip atau nasihat hendak ajar macam mana lalui perjalanan dalam industri seni ini. Saya pun lalui sendiri dan fikirkan semua benda sendiri.

"Dengan bantuan pihak pengurusan saya, sama ada yang lama mahupun baharu dan keluarga. Sekarang, saya ada suami, jadi, sistem sokongan saya sangat kuat. Itu sebabnya saya masih bertahan di sini.

"Lagi-lagi sekarang saya sudah ada anak. Dialah yang menjadi penguat semangat untuk saya teruskan. Sudah tentu, apa yang paling penting adalah peminat," katanya ketika ditemui pada sidang media Terhangat Melodi di Balai Berita, Bangsar,di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai peserta program realiti, Sabrina Alias yang dikatakan melalui situasi hampir sama dengannya suatu ketika dahulu, Nabila berharap penyanyi muda itu terus tabah dan tidak mudah mengalah.

"Untuk adik Sabrina, apa yang boleh saya titipkan ialah terus kuat. Kalau betul ini yang Sabrina mahu, dia kena kuat dan tolak tepi segala perkara negatif. Ingat semula niat asal kenapa masuk pertandingan, sebab hendak menyanyi, betul?

"Jadi, teruskan sahaja perjuangan. Go big or go home. Itulah yang saya pegang sejak awal melangkahkan kaki dalam industri. Saya pergi uji bakat kerana sejak kecil memang minat menyanyi.

"Walau apa pun orang cakap, saya tetap buat kerana saya suka bidang ini. Tidak sedap? Tidak mengapa, emak saya cakap sedap," katanya sambil berseloroh.

Nabila turut menitipkan kata-kata semangat kepada Sabrina yang tersingkir daripada program realiti itu supaya tidak mudah berputus asa sekiranya benar-benar mahu meneruskan perjuangan sebagai penyanyi.

Tambahnya, setiap individu perlu jelas dengan matlamat yang ingin dicapai supaya tidak mudah goyah apabila berdepan cabaran.

"Kalau kita sendiri tidak tahu apa yang kita hendak, itulah yang membuatkan kita mudah goyah.

"Perkara ini terpakai dalam semua aspek kehidupan dan profesion. Kalau kita nak buat sesuatu, buatlah bersungguh-sungguh sehingga berjaya.

"Kelilingilah diri dengan orang yang sentiasa menyokong dan memberi semangat kepada kita," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan