KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegaskan penyanyi muda, Odda dipilih menyertai syarikat rakamannya, Siti Nurhaliza Legacy (SNL), berdasarkan bakat, potensi dan usaha keras, bukannya atas faktor latar belakang keluarga.
Siti berkata, keputusan memilih Odda dibuat selepas melihat sendiri perkembangan kerjayanya, termasuk ketika penyanyi itu menyertai program Talk To My Manager, sebelum bernaung di bawah SNL.
"Bagi saya, kita tak boleh cakap dia tak layak. Pada saya, dia memang layak. Sebab itu saya pilih dia. Kalau tak layak, saya tak akan pilih.
"Kalau bercakap mengenai laluannya mudah, saya rasa perkara itu tidak perlu dipertikaikan kerana Odda memang lahir dalam keluarga seni. Mahu atau tidak, orang memang mengenali dia sejak kecil lagi.
"Saya juga mengambilnya sebagai anak angkat sejak dia masih kecil. Namun, selebihnya dia sendiri perlu membuktikan muzik yang dibawakan sesuai dengan karakter dan identitinya.
"Saya juga mahu dia membuktikan kemampuan seperti Umairah yang sudah berjaya bertanding di peringkat antarabangsa.
"Saya melihat sendiri persembahannya dalam Talk To My Manager ketika dia belum lagi bersama syarikat saya. Dia sudah membuktikan usahanya dan mempunyai kelompok peminat sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single sulung Odda bersama SNL berjudul Gelanggang Rasa, di sini, semalam.
Siti berkata, kejayaan melancarkan lagu berkenaan bukan sesuatu yang mudah memandangkan jadual kerja Odda yang padat.
"Saya bangga dengan Odda. Pada usia muda, dia sangat kuat bekerja. Bukan hanya menyanyi, dia juga berlakon dan mengacara sehingga jadualnya begitu padat.
"Saya ingat saya seorang saja yang susah hendak dicari kerana jadual kerja yang padat. Sebenarnya, rakaman lagu ini dirancang lebih awal, tetapi dia banyak komitmen kerja. Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya juga melancarkan lagu ini," katanya.
Dalam pada itu, Siti mengakui Odda memikul tanggungjawab besar sebagai artis muda yang semakin mendapat perhatian ramai.
"Sebenarnya beban yang dipikulnya agak besar. Saya harap dia dapat mengharunginya dengan baik dan bijak membahagikan masa. Insya-Allah, semuanya boleh dilakukan dengan baik.
"Dia mempunyai impian dan visi dalam kerjaya seni. Selagi dia tidak melakukan perkara yang tidak baik, itu sudah memadai. Selebihnya, dia perlu berusaha mencapai impiannya," katanya.
Mengulas potensi dimiliki Odda, Siti berkata, penyanyi itu mempunyai pakej tersendiri yang perlu terus diperkasakan tanpa cuba meniru mana-mana penyanyi lain.
"Saya nampak kelebihan yang ada pada Odda. Dia memiliki pakej suara yang hebat dan keistimewaan tersendiri.
"Bagi saya, Odda perlu menyanyikan lagu yang sesuai dengan kekuatannya. Kita tidak boleh memaksa dia membawa lagu balada kerana itu bukan kekuatannya.
"Sebab itu saya memilih konsep seperti Gelanggang Rasa kerana lagu itu menepati kelebihannya. Dia juga boleh menari dengan baik dan lagu ini ringkas serta mudah melekat di ingatan, sekali gus membolehkannya menyanyi sambil membuat persembahan.
"Saya berharap peminat dapat menerima penampilan dan muzik baharu yang dibawakan Odda," katanya.
























