KUALA LUMPUR: Penantian lebih 24 jam berakhir apabila kucing peliharaan pelakon, Azhan Rani yang diberi nama, Kilau, pulang ke rumah, kira-kira jam 5.20 pagi tadi.
Azhan, 50, berkata kepulangan Kilau disedari adiknya yang terdengar bunyi kucing di luar rumah sebelum Kilau masuk melalui pintu belakang.
"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat apabila Kilau akhirnya pulang sendiri. Semalam, saya balik daripada penggambaran kira-kira jam 2.30 pagi dan terus mencarinya sehingga jam 3.30 pagi, tetapi masih tidak jumpa.
"Saya sengaja buka pintu jeriji belakang kerana di situ laluan yang selalu digunakan Kilau untuk melompat. Kemudian, kira-kira jam 5.20 pagi, adik saya yang tidur di tingkat bawah terdengar bunyi kucing.
"Rupa-rupanya Kilau sudah masuk ke dalam rumah. Pada mulanya dia nampak takut, tetapi selepas dipujuk barulah dia mahu makan. Keadaannya sekarang baik, cuma kelihatan sedikit trauma. Syukur juga kerana tiada sebarang kecederaan serius pada badannya," katanya kepada BH Online.
Menurut Azhan, kehilangan kucing baka British Long Hair itu kali ini amat luar biasa kerana Kilau tidak pernah menghilangkan diri dalam tempoh yang lama sebelum ini.
Azhan berkata, sebelum ini, dia memakaikan kolar yang tertera nama dan maklumat peribadinya pada semua kucing peliharaan bagi memudahkan orang ramai menghubunginya sekiranya haiwan itu ditemui.
Bagaimanapun, katanya, kolar berkenaan terpaksa ditanggalkan selepas membawa masalah kulit pada bahagian leher kucing.
"Kucing-kucing saya alami masalah kulit pada bahagian leher seperti kulat. Apabila dibawa ke klinik veterinar, doktor nasihatkan kolar ditanggalkan kerana menyebabkan bahagian leher menjadi lembap dan kucing kerap menggaru," katanya.
Susulan kejadian itu, Azhan bercadang menutup ruang di bahagian belakang rumah yang menjadi laluan keluar masuk Kilau, selain memasang sebuah lagi kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah pencegahan.
"Saya tahu penggunaan AirTag atau alat penjejak memang baik, tetapi saya bimbang ia tidak sesuai untuk Kilau atau kucing saya yang lain.
"Jadi selepas ini saya akan menutup ruang di belakang rumah yang menjadi laluannya keluar masuk, selain memasang sebuah lagi CCTV di bahagian belakang rumah sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.
Dalam pada itu, Azhan turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga, rakan-rakan serta orang ramai yang mendoakan keselamatan Kilau, malah ada yang sanggup turun padang membantu mencarinya.
"Saya tidak sangka begitu ramai yang membantu mencari dan mendoakan keselamatan Kilau. Terima kasih banyak-banyak," katanya.
























