LONDON: Bekas anggota kumpulan Spice Girls, Melanie Chisholm atau lebih dikenali sebagai Mel C, selamat bergelar isteri kepada model dan penerbit, Chris Dingwall, dalam majlis sederhana yang berlangsung di Australia dan England, lapor British Vogue.
Penyanyi berusia 52 tahun itu terlebih dahulu dilaporkan melangsungkan perkahwinan secara sah di negara kelahiran suaminya di Australia sebelum meraikan majlis persandingan kedua di sebuah kediaman milik rakan di tepi tasik, Cumbria, England pada 18 Julai lalu.
Menariknya, Mel C mengenakan gaun pinjaman daripada sahabat lamanya, Victoria Beckham, sekali gus melengkapkan tradisi 'something borrowed' pada hari bahagianya.
Victoria mendedahkan idea meminjamkan gaun itu tercetus secara tidak sengaja ketika mereka menikmati makan malam bersama.
"Saya bertanya kepada Melanie apa perancangannya dan dia secara bersahaja memberitahu akan berlepas ke Australia dua hari kemudian untuk berkahwin.
"Apabila saya bertanya mengenai gaun yang akan dipakai, dia memberitahu sudah menempah salah satu rekaan saya, namun saiznya tidak sesuai dan tidak sempat diubah suai sebelum berlepas.
"Kebetulan saya memiliki gaun yang sama di dalam almari, lalu saya menawarkan untuk meminjamkannya," katanya kepada British Vogue.
Gaun satin rona gading itu kemudian dibawa bersama ke Australia sebelum Victoria menghasilkan semula rekaan berkenaan sebagai gaun impian Mel C untuk majlis persandingan di England.
Majlis yang berlangsung di tepi tasik itu disifatkan Mel C sebagai ringkas, santai, romantik dan elegan.
"Gaun Victoria menjadi 'something borrowed' saya. Ia sangat bermakna kerana dia turut bersama meraikan hari istimewa itu," katanya, lapor portal berkenaan.
Pasangan itu mula berkenalan menerusi aplikasi janji temu Raya kira-kira tiga tahun lalu sebelum bertemu buat kali pertama di Australia.
"Percikan cinta itu hadir serta-merta. Saya berusia 49 tahun ketika bertemu Chris dan berada dalam fasa kehidupan yang sangat baik.
"Kami bertemu di Australia dan sejak itu amat sukar untuk berpisah," katanya.
Chris kemudian melamar Mel C ketika mereka bercuti di Mallorca pada Julai tahun lalu.
"Ia sangat indah kerana hanya kami berdua. Dia menyangka saya sudah dapat mengagaknya, tetapi saya benar-benar terkejut.
"Sebaik sahaja dia melamar, saya terus tahu inilah keputusan yang tepat.
"Memasuki usia 50-an membuatkan saya lebih selesa dengan diri sendiri. Saya mahu menikmati setiap pengalaman yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup," katanya. - AGENSI
























