KUALA LUMPUR: Program hiburan ikonik TV3 yang mula diterbitkan pada 1993, Melodi memasuki era baharu melalui perubahan menyeluruh yang menjanjikan pengalaman tontonan lebih segar, moden dan dinamik.
Masih mengekalkan identiti sebagai program hiburan pilihan ramai, Melodi tampil dengan wajah berbeza menerusi pembaharuan identiti visual, set studio serta pendekatan kandungan yang lebih dekat dengan cita rasa penonton.
Tambah menarik, Melodi kini dikemudikan pelakon Kamal Adli yang sejak akhir-akhir ini cukup popular di platform Threads dan hos asal, Ain Edruce.
Sejak 16 Julai lalu, Melodi disiarkan secara langsung setiap Khamis, jam 9 malam di TV3 dan turut boleh distrim menerusi platform Tonton.
Selain membawakan gosip selebriti, Melodi kini memperluaskan skop liputan dengan menyajikan berita serta perkembangan terkini industri hiburan merangkumi filem, muzik, drama, fesyen, gaya hidup, acara hiburan dan laporan eksklusif.

TV3 baru-baru ini mengumumkan pendekatan itu mengukuhkan lagi kedudukan Melodi sebagai antara platform utama perkembangan industri hiburan tempatan.
Dalam usaha memperkayakan kandungan, Melodi turut memperkenalkan segmen baharu Muzik-Muzik 41 yang membawakan perkembangan terkini carta muzik tempatan setiap minggu, selain menggalakkan penyertaan peminat dalam proses pengundian menuju Anugerah Juara Lagu (AJL).
Bagi memperluaskan capaian kepada pencinta muzik, Hot FM pula menjadi rakan radio rasmi Muzik-Muzik 41 menerusi segmen Carta Juara Lagu.
Bersiaran setiap Ahad, jam 8 hingga 10 malam bersama Keymi, segmen itu menampilkan 20 lagu yang menghuni Carta Muzik-Muzik setiap minggu, sekali gus memperkukuhkan sinergi antara televisyen, radio dan platform digital dalam meraikan industri muzik tempatan.
Penerbit Melodi, Noradillah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Adeed berkata, perubahan dibuat bagi memastikan Melodi terus relevan dengan kehendak penonton dan perkembangan landskap hiburan semasa.
Tambahnya, biarpun masih mengekalkan identiti asal sebagai program yang mengetengahkan cerita eksklusif dan sensasi, Melodi kini diperluaskan menjadi platform infotainmen yang lebih menyeluruh.
"Melodi sekarang bukan sekadar program gosip semata-mata. Kita masih mengekalkan 'DNA' asal Melodi iaitu memaparkan cerita eksklusif dan sensasi, itu memang masih ada.
"Cuma, kali ini kita buat penambahbaikan dengan memperluaskan liputan kepada keseluruhan industri hiburan.
"Maksudnya, Melodi kini menjadi hab infotainmen. Kita bukan hanya mengejar cerita sensasi, tetapi turut membawakan liputan konsert, di sebalik tabir filem, drama serta pelbagai perkembangan industri hiburan," katanya kepada BH Online.
Adeed berkata, segmen ikonik yang menjadi identiti Melodi turut dikekalkan, namun, kandungannya kini lebih seimbang.
"Kalau dahulu hampir 100 peratus tertumpu kepada gosip, kini kandungannya lebih pelbagai. Kita juga membuat liputan seperti rakan-rakan media hiburan lain yang melaporkan pelbagai perkembangan industri," katanya.
Mengulas pemilihan Kamal sebagai pengacara baharu, Adeed berkata, keputusan itu bukan dibuat semata-mata memenuhi permintaan ramai, sebaliknya hasil perancangan dan perbincangan bersama pihak pengurusan.
"Sebenarnya, kami sudah lama merancang untuk memilih seseorang yang mempunyai pengaruh dan hubungan rapat dengan dunia digital.
"Sekarang kita berada dalam era digital, jadi kami mahukan hos yang mesra platform digital dan mempunyai pengaruh di media sosial.
"Kamal juga aktif di Threads, jadi kami merasakan dia sesuai mewakili Melodi untuk mendekati penonton di platform digital. Sejak zaman pasukan lama lagi, dia memang antara artis yang kerap dijemput ke program kami. Apa yang dilakukan ini adalah penambahbaikan demi menghasilkan program yang lebih baik," katanya.
Dalam perkembangan sama, Adeed berkata, kandungan program Muzik-Muzik kini turut diserapkan ke dalam Melodi sebagai sebahagian daripada format baharu rancangan itu.
Tambahnya, kandungan Muzik-Muzik akan dipersembahkan mengikut blok, termasuk carta lagu, pencalonan baharu dan maklumat berkaitan undian.
"Muzik-Muzik dimuatkan dalam setiap blok rancangan. Contohnya, satu blok memaparkan carta, kemudian pencalonan baharu dan sebagainya. Kita pecahkan kandungan itu mengikut blok supaya ia benar-benar menjadi sebahagian daripada Melodi dan bukannya satu segmen yang berdiri sendiri.
"Penonton boleh melihat carta, pencalonan baharu serta maklumat berkaitan undian seperti yang terdapat dalam Muzik-Muzik. Kandungannya masih sama, cuma bezanya ia tidak mempunyai hos seperti dalam program asal," katanya.
Dalam merealisasikan visi dan misi era baharu Melodi, tanggungjawab besar haruslah dipikul pengacara yang bakal memastikan penonton 'melekat' di hadapan televisyen (TV) atau peranti di mana sahaja mereka berada.
Ketika ditemui, Kamal mengaku terharu diberi kepercayaan menjadi pengacara baharu program hiburan ikonik, Melodi dan menyifatkan peluang itu sebagai rezeki besar dalam karier seni.

Kamal atau nama sebenar, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, berkata peluang menjadi hos tetapi Melodi hadir selepas beberapa kali diberi kepercayaan mengendalikan program berkenaan sebagai pengacara jemputan.
"Proses ini berlaku secara berperingkat. Kalau diikutkan, saya sudah lama menjadi pengacara jemputan Melodi. Sejak Nabila Huda mengacarakan program ini lagi, cuma, ketika itu, saya sering dipanggil sebagai pengganti.
"Saya juga pernah menggantikan Ain dan mengacarakan Melodi bersama Fikry Ibrahim. Jadi, saya memang tidak sangka akhirnya diberi peluang menjadi hos tetap.
"Alhamdulillah, mungkin kali ini mereka merasakan sudah tiba masanya untuk memberikan peluang kepada saya. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Allah, TV3 serta ibu bapa yang sentiasa mendoakan saya," katanya.
Kamal berkata, bergandingan dengan Ain bukan sesuatu yang asing kerana mereka pernah bekerjasama, sekali gus memudahkan proses menyesuaikan diri di studio.
"Kami mahu tampil dengan pembaharuan dan memberi nafas baharu supaya penonton tidak bosan dengan penyampaian gosip. Kami bukan sekadar mahu menyampaikan cerita, tetapi juga emosi di sebalik setiap kisah supaya penonton lebih terhibur," katanya.
Pelakon yang juga bekas suami kepada Uqasha Senrose itu berkata, peluang mengendalikan Melodi hadir pada waktu yang tepat kerana dia sentiasa berusaha memperbaiki diri dan memberi yang terbaik.
"Alhamdulillah, saya anggap semuanya rezeki daripada Allah, termasuk rezeki anak saya. Satu demi satu perkara baik hadir dalam kehidupan kami.
"Saya juga sentiasa mendoakan agar rezeki ini bukan untuk saya seorang, sebaliknya turut mengalir kepada Uqasha supaya kami sama-sama dapat membesarkan anak kami.
"Saya gembira melihat Uqasha sudah kembali memulakan penggambaran. Kami sama-sama bersyukur dengan rezeki yang diberikan," katanya.
Sementara itu, Ain menyifatkan Kamal sebagai versi lelaki dirinya dan percaya keserasian mereka mampu diterjemahkan menerusi program berkenaan.
"Saya fikir Kamal ialah versi lelaki saya. Kali terakhir kami bekerja bersama adalah pada 2021. Jadi, kami hanya perlu menyesuaikan semula keserasian dan tenaga masing-masing.
"Setakat ini semuanya lancar. Kami juga baru bekerjasama sebelum ini, jadi saya yakin semuanya akan menjadi lebih baik. Kita doakan yang terbaik," katanya.
























