KUALA LUMPUR: Teka-teki tarikh pernikahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah terus bertebaran apabila pasangan sensasi itu berkunjung ke pejabat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, kelmarin.
Walaupun tujuan kunjungan itu tidak didedahkan, ramai membuat andaian pasangan itu hadir bagi menyerahkan kad undangan perkahwinan kepada Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Perkembangan itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat yang percaya majlis pernikahan Syed Saddiq dan Bella Astillah bakal berlangsung dalam masa terdekat.
Malah, ada yang meramal pasangan itu memilih tarikh Sabtu, 8 Ogos ini yang membawa kombinasi nombor cantik '8.8.26' sebagai hari nikah. Malah, angka 2 dan 6 merujuk tahun ini, jika dicampur menjadi 8, turut mencipta tarikan sebagai tarikh pilihan netizen buat Syed Saddiq dan Bella bernikah.
"Saya fikir tarikh itu sudah tak lama. Mungkin bulan depan mereka bernikah... Selalunya macam itulah," tulis seorang peminat di media sosial.
Pada masa sama, segelintir netizen berpendapat Syed Saddiq dan Bella mungkin memilih 30 Ogos, iaitu sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan. Tidak kurang juga yang membuat andaian majlis berkenaan akan berlangsung, Oktober depan.
Bagaimanapun, ada peminat menolak kemungkinan majlis diadakan pada Disember walaupun bulan kelahiran Syed Saddiq. Ini berikutan kenyataan beliau yang sebelum ini menyebut, perkahwinan mereka tidak akan berlangsung hujung tahun.
"Tidak fikir Disember sebab YB Syed Saddiq sendiri pernah cakap, bukan hujung tahun. Mungkin ketika cuti sidang Parlimen kerana YB Syed Saddiq tidak akan ponteng persidangan," komen seorang lagi netizen.
Berdasarkan kalendar persidangan Dewan Rakyat, sidang akan berehat panjang bermula 17 Julai lalu hingga 4 Oktober depan.
Namun, spekulasi berhubung tarikh nikah belum dapat dipastikan apabila Syed Saddiq dan Bella terus mengunci mulut mengenai tarikh sebenar majlis mereka.
Sebelum ini, Syed Saddiq mengesahkan kepada media bahawa tarikh pernikahan dengan Bella sudah dipersetujui kedua-dua keluarga, namun, belum bersedia untuk diumumkan.
Pada masa sama, Syed Saddiq dilapor tidak menolak kemungkinan majlis perkahwinan dipercepatkan berbanding perancangan asal yang dikatakan dijadual, hujung tahun.
Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Sebelum ini, Bella mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon dari Singapura, Aliff Aziz, pada 2016. Pasangan itu bercerai buat kali pertama pada 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh edah.
Bagaimanapun, mereka bercerai kali kedua pada 13 Jun 2024. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.
























