KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Hun Haqeem menegaskan sikap menghormati masa sesama anak seni perlu menjadi amalan ketika berada di set penggambaran bagi memastikan kelancaran produksi selain mewujudkan suasana kerja lebih harmoni.
Mengakui pernah berdepan situasi membabitkan pelakon lain yang lewat hadir ke set, Hun berkata, perkara itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap emosi serta perjalanan keseluruhan produksi.
"Setiap kali bercakap mengenai etika seseorang, sudah tentu ia menjadi 'turn off' (hilang semangat) apabila individu itu tidak menjalankan tanggungjawabnya 100 peratus.
"Pada akhirnya, ini soal menghormati kerja semua orang. Kalau semua orang menghormati skop kerja masing-masing, saya rasa suasana kerja akan menjadi lebih baik dan menyeronokkan," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Cinta Dalam Sekam dan What's Next On Viu di Odeon Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.
Hun berkata, walaupun isu berkaitan komitmen dan etika kerja boleh memberi cabaran kepada produksi, keadaan itu juga boleh dijadikan peluang untuk semua pihak memperbaiki diri.
"Kadang-kadang kita tetap perlu bekerjasama dengan orang seperti ini. Jadi, kita ambil peluang itu untuk sama-sama menjadi lebih baik.
"Mungkin orang yang selalu datang lambat akan berubah apabila melihat pelakon senior lain sentiasa menepati masa. Itu satu perkara yang baik. Cuma kita perlu bersabar dan cuba mendidik," katanya.
Hun berkata, dia tidak mempunyai kaedah khusus untuk menangani isu sedemikian, sebaliknya memilih memastikan keadaan mental dan emosinya kekal stabil demi menjayakan watak diberikan.
"Sebagai pelakon, emosi itulah yang kami gunakan 100 peratus setiap hari.
"Saya berpegang kepada mentaliti untuk menjaga emosi sendiri kerana emosi itu milik karya yang sedang saya jayakan. Kalau emosi terganggu, profesionalisme saya juga akan terjejas," katanya.
Sebelum ini, isu berkaitan komitmen pelakon menjadi perhatian apabila seorang pelakon lelaki memuat naik hantaran di media sosial menegur sikap segelintir rakan gandingan yang didakwa sukar memberikan kerjasama, termasuk lewat hadir ke set penggambaran.
Dalam perkembangan lain, Hun bakal muncul menerusi drama thriller psikologi, Cela terbitan Viu yang dijadualkan menemui penonton bulan depan.











_1784674878.jpg)












