KUALA LUMPUR: Penyanyi Khai Bahar menafikan dakwaan tindakan mengurangkan perkongsian di media sosial bagi mengelak penyakit ain.
Sebaliknya, penyanyi lagu Bayang itu berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak salah faham dalam kalangan netizen, selain menjaga kestabilan emosidaripada terus terkesan dengan pelbagai tanggapan.
Khai berkata, dia kini lebih berhati-hati dalam berkongsi kehidupan peribadi kerana tidak mahu membuka ruang kepada pihak tertentu mencetuskan cerita atau spekulasi tidak benar.
"Memang saya semakin jarang mengemas kini akaun media sosial bagi mengelak orang mencipta cerita yang tidak ada.
"Bagi mengelak perkara itu daripada berlaku, saya kenalah memperlahankan perkongsian di media sosial, bukan kerana mahu mengelak penyakit ain.
"Tapi bukanlah saya tidak berkongsi langsung. Kalau membabitkan kerja atau perkara penting, saya kongsi," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton eksklusif drama vertikal Impian Di Soul di sini, petang tadi.
Khai juga enggan dilihat terlalu ghairah berkongsi kehidupan di media sosial kerana bimbang mengundang kecaman atau kebencian netizen.
Malah, penyanyi berasal dari Perlis itu berkata, dia lebih menjaga penampilan, termasuk ketika berada di gimnasium bagi mengelakkan salah tafsir.
"Saya tidak akan kongsikan di Threads. Kalau hendak berkongsi pun, cukuplah sekadar di Instagram Story (IGS).
"Video pendek atau apa saja aktiviti di gimnasium seperti memakai singlet memang tidak akan saya kongsi. Saya akan cuba berpakaian sesopan yang mungkin," katanya.











_1784636405.jpg)












