KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hadie menjelaskan perubahan fizikalnya yang kini dilihat semakin kurus bukan berpunca daripada masalah kesihatan, sebaliknya hasil disiplin mengurangkan pengambilan gula sejak hampir setahun lalu demi memastikan kualiti vokalnya sentiasa berada pada tahap terbaik.
Hadie atau nama sebenarnya Ehmad Hadie Elfardie Mohd Suhaimi berkata, dia mengambil keputusan mengurangkan makanan dan minuman manis kerana mendapati gula serta minuman sejuk mudah menjejaskan keadaan suaranya.
"Salah satu sebab saya nampak kurus mungkin kerana saya 'cut sugar'. Saya banyak minum air kosong. Mungkin juga corak pemakanan saya tidak menentu. Ada kalanya saya makan makanan berat, ada hari saya langsung tidak berselera.
"Saya kurangkan gula sebab suara saya memang cepat terjejas kalau minum ais atau makan makanan manis seperti gula-gula dan coklat. Jadi saya pilih untuk kurangkan gula. Cuma kalau terlalu teringin, saya akan minum sedikit," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik Gelanggang Rasa nyanyian Oddah di Ideas, di sini, hari ini.
Hadie yang juga anak kepada bekas anggota kumpulan Inteam, Allahyarham Suhaimi Saad dan penyanyi, Ina Naim, berkata kali terakhir dia menimbang berat badan adalah sekitar 55 kilogram (kg).
"Namun sekarang saya sendiri tidak pasti berapa berat badan saya kerana sudah lama tidak menimbang.
"Kadang-kadang bila saya baring dan pegang bahagian pinggang, saya sendiri rasa terlalu kurus. Memang saya kena makan lebih banyak," katanya.
Menurut Hadie, ibunya antara individu yang sering mengingatkannya supaya mengambil makanan secukupnya agar tidak kelihatan terlalu kurus.
"Ibu memang selalu suruh saya makan. Dia kata saya nampak kurus sangat.
"Tapi saya cepat kenyang. Kalau paksa makan, nanti jadi perkara lain pula," katanya.
Mengulas sama ada jadual persembahan yang padat mempengaruhi gaya pemakanannya, Hadie berkata perkara itu bukan faktor utama, sebaliknya dia mahu sentiasa bersedia memberikan persembahan terbaik.
"Bukan sebab persembahan terlalu banyak, tetapi saya memang suka membuat persediaan lebih awal. Saya tidak mahu tunggu saat akhir baru hendak kurangkan gula atau menjaga suara.
"Kalau boleh saya mahu memberikan yang terbaik setiap kali membuat persembahan. Saya risau kalau mengecewakan penonton.
"Demi memastikan persembahan terbaik, saya sanggup berkorban, walaupun terpaksa kelihatan lebih kurus," katanya.
























