KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, meluahkan rasa syukur apabila berpeluang bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sambil menyifatkan pertemuan itu sebagai detik bermakna apabila beliau dan tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menerima nasihat mengenai pembinaan rumah tangga yang bahagia dan berkekalan.
Bella berkata, pesanan yang dikongsikan Dr Mahathir akan dijadikan pedoman sepanjang perjalanan hidup mereka pada masa depan.
"Alhamdulillah, dapat berjumpa Tun Dr Mahathir. Terima kasih atas nasihat yang sangat bernilai buat kami berdua mengenai cara membina rumah tangga yang bahagia dan berkekalan.
"Tun M dan Tun Dr Siti Hasmah sudah 70 tahun bersama. Masya-Allah, semoga segala nasihat yang diberikan menjadi bekalan sepanjang perjalanan hidup kami. Amin," katanya menerusi hantaran di Instagram.
Dalam hantaran sama, Bella turut mengakui berasa gugup apabila dapat bertemu secara bersemuka dengan negarawan berusia 101 tahun itu.
Menurutnya, perasaan itu sukar digambarkan kerana sejak kecil lagi dia mengagumi kepimpinan Tun Dr Mahathir.
"Tidak sangka saya boleh 'star struck' seteruk ini.
"Perasaan saya sama seperti ketika bertemu Lee Min Ho dan Afgan.
"Saya mengagumi Tun M sejak kecil. Bertemu beliau secara berdepan terasa seperti mimpi. Terima kasih," katanya.
Hantaran itu turut dimuat naik bersama beberapa keping gambar memaparkan Bella dan Syed Saddiq meluangkan masa bersama pasangan berkenaan.
























