BH Online
Ringkasan Berita

Azhan Rani tawar ganjaran cari kucing hilang

PUTRAJAYA: Kehilangan seekor kucing kesayangan nyata memberi tamparan emosi kepada pelakon, Azhan Rani, sehingga menjejaskan tumpuannya untuk bekerja apabila fikirannya masih dibayangi nasib haiwan peliharaan yang hilang sejak awal pagi tadi.
Azhan Rani tawar ganjaran cari kucing hilang

Azhan mengakui kehilangan kucing kesayangannya, Kilau, menjejaskan emosi sehingga sukar memberi tumpuan terhadap kerja. Foto NSTP/Aziah Azmee

PUTRAJAYA: Kehilangan seekor kucing kesayangan nyata memberi tamparan emosi kepada pelakon, Azhan Rani, sehingga menjejaskan tumpuannya untuk bekerja apabila fikirannya masih dibayangi nasib haiwan peliharaan yang hilang sejak awal pagi tadi.

Azhan, 50, berkata, sehingga kini dia masih memikirkan keadaan Kilau, kucing baka British Long Hair yang disifatkannya bukan sekadar haiwan peliharaan, sebaliknya teman setia dalam rutin hariannya.

"Sekarang fikiran saya hanya memikirkan kucing. Hendak pergi penggambaran drama pun rasa tidak tenang. Jiwa saya tidak tenteram untuk bekerja," katanya ketika ditemui pada sidang media drama Bulan Henti Bicara di sini, hari ini.

Azhan berkata, Kilau mempunyai tempat istimewa dalam hidupnya kerana menjadi teman tidur selain mengejutkannya setiap hari untuk diberi makan.

"Kilau biasanya menjadi 'alarm' saya. Dia akan menguis muka saya sekitar jam 4 pagi untuk meminta makanan.

"Tetapi pagi ini saya terjaga sendiri. Ketika itu saya sudah rasa ada sesuatu yang tidak kena.

"Saya turun ke bawah dan mendapati Kilau tiada. Saya sedih sangat. Datang bekerja hari ini pun dalam keadaan jiwa tidak tenang," katanya.

Menurut Azhan, dia percaya Kilau keluar dari rumah melalui pintu belakang yang terbuka secara tidak sengaja ketika waktu Subuh.

Bagi mempercepat usaha mengesan Kilau, Azhan berkata, dia sudah memaklumkan kehilangan kucing itu kepada komuniti kejiranannya selain memohon bantuan orang ramai menerusi media sosial.

Malah, katanya, dia bersedia menawarkan ganjaran kepada mana-mana individu yang berjaya menemukan Kilau.

"Insya-Allah saya akan beri apa yang termampu asalkan kucing saya dapat kembali," katanya.

Terdahulu, Azhan memuat naik gambar Kilau di media sosial miliknya sambil merayu bantuan orang ramai untuk mengesan kucing kesayangannya itu.

Video Terkini

Berita Berkaitan