puterialia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Vokalis Bittersweet, Fizan kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat di rumah selepas kejadian terjatuh ke bawah pentas ketika menjayakan konsert Indiescovery 2026, baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagramnya, semalam, Fizan yang mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya turut meluahkan rasa syukur dan memohon maaf kerana tidak sempat membalas setiap mesej diterima daripada peminat dan rakan-rakan.
"Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Maaf saya tidak dapat membalas setiap mesej dan DM (mesej peribadi).
"Saya sendiri terkejut apabila sedar tengah hari tadi (semalam) kejadian ini sudah kecoh. Namun, ketahuilah saya membaca semuanya dan amat menghargai setiap doa serta keprihatinan anda semua," tulisnya.
Mengulas mengenai tahap kesihatannya, Fizan memaklumkan hasil ujian imbasan CT dan X-ray yang dijalankan ke atasnya menunjukkan keputusan yang baik.
"Saya sudah berada di rumah sekarang dari Hospital Putrajaya. Keputusan CT scan (imbasan CT) dan X-ray berada dalam keadaan baik. Doktor menasihatkan saya untuk berehat selama seminggu bagi mengurangkan bengkak sebelum kembali untuk pemeriksaan susulan pada bahagian dalaman hidung.
"Doakan tiada 'minor fracture' atau apa-apa komplikasi. Namun, tiada apa yang teruk, jangan bimbang," tulisnya lagi.
Dalam hantaran sama, Fizan turut menzahirkan penghargaan kepada pengurusan RR Music Entertainment dan peminat Bittersweet atas tindakan pantas memastikan dia menerima rawatan terbaik secepat mungkin.
"Sesuatu yang ajaib berlaku pada malam itu yang tidak dapat saya jelaskan. Apa yang saya tahu, saya perlukan pentas itu, saya ada tugas yang perlu diselesaikan dan tidak boleh mengecewakan rakan band serta pasukan saya. Tujuannya sudah ditetapkan, ia bersifat peribadi dan perlu diselesaikan.
"Bittersweet, Butterfingers, Masdo, Bunkface. Saya tidak mampu meminta yang lebih daripada ini. Sekali lagi, terima kasih semua atas doa. Kita bakal berjumpa lagi tidak lama lagi, Insya-Allah. 'Forever The Beats'," luahnya.
























