SUNGAI BULOH: Penyanyi rock, Datuk Awie, 'melamar' semula kumpulan Kristal menyertai syarikat rakamannya, RPM, dengan hasrat membantu mengukuhkan semula kedudukan kumpulan itu dalam industri muzik.
Vokalis Wings itu berkata, pelawaan berkenaan dibuat selepas anggota Kristal menemuinya di kediaman kira-kira dua bulan lalu bagi berbincang mengenai hala tuju kumpulan berkenaan.
"Mereka datang ke rumah saya dan kami berbual mengenai beberapa perkara.
"Apabila mereka beritahu tidak lagi bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman, saya terus mengajak mereka kembali bersama saya.
"Rody bersetuju dan sejak itu saya mula memikirkan perancangan terbaik untuk membawa Kristal ke satu tahap yang lebih baik.
"Sekurang-kurangnya syarikat saya boleh menjaga serta membentuk hala tuju muzik mereka.
"Saya bukan mahu mencampuri identiti muzik Kristal. Terpulang kepada mereka untuk berkarya, saya cuma mahu berkongsi idea supaya mereka boleh menjadi lebih baik," katanya ketika ditemui pada sesi latihan Konsert 3 Veto di My Studio, di sini, semalam.
Awie berkata, dia terpanggil untuk kembali bekerjasama dengan Kristal kerana mengagumi kemampuan dan disiplin muzik yang dimiliki kumpulan itu sejak dahulu lagi.
"Saya terpanggil kerana mereka memang sebuah kumpulan yang bagus.
"Sejak mereka kecil lagi saya sudah membimbing mereka. Sekarang saya mahu menyambung semula kenangan itu dengan melakukan sesuatu yang lebih besar untuk Kristal," katanya.
Awie berkata, jika segala urusan berjalan lancar, Kristal bakal menjadi antara artis yang akan menandatangani kontrak bersama RPM dalam masa terdekat.
"Insya-Allah mereka akan berada di bawah RPM.
"Cuma sekarang saya agak sibuk dengan beberapa projek lain, jadi urusan itu terpaksa ditangguhkan seketika.
"Kami akan adakan majlis menandatangani kontrak membabitkan Kristal dan beberapa lagi artis yang bakal menyertai RPM," katanya.
Menurut Awie, fokus utamanya adalah menghasilkan album baharu yang mampu menyerlahkan identiti Kristal, selain memperkemaskan karya berbahasa Inggeris yang sedang diusahakan kumpulan itu.
"Keutamaan saya ialah memastikan mereka tampil dengan album yang segar, bukan sekadar merakamkan semula lagu sedia ada.
"Selepas semua komitmen kerja saya selesai, barulah saya akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Kristal," katanya.
Pada masa sama, Awie menafikan pelawaan itu dibuat kerana tidak sanggup melihat Kristal terus membuat persembahan di festival makanan.
"Itu rezeki masing-masing. Mungkin belum sampai masa mereka untuk membuat persembahan di pentas yang lebih besar.
"Apa yang saya mahu ialah membantu mereka menjadi sebuah kumpulan yang lebih kukuh dan kembali mendapat permintaan tinggi.
"Saya kenal mereka sejak kecil lagi. Sampai hari ini mereka tidak pernah putus kerja dan prestasi mereka semakin baik.
"Rody, Acap dan Ewal, semuanya pemuzik yang bagus," katanya.
























