KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zaki Yamani tampil memperjelaskan kenyataannya sebelum ini yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang peminat yang didakwa terlalu obses, sambil menegaskan hasrat itu bukan bertujuan menghukum, sebaliknya sekadar usaha menarik perhatian keluarga individu berkenaan yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, berkata, dia juga tidak mahu individu terbabit terus menjadi sasaran kecaman netizen yang tidak mengetahui keadaan sebenar.
"Saya keluarkan kenyataan itu hanya untuk ditujukan kepada keluarga individu berkenaan supaya mereka memantau penggunaan telefonnya. Saya mahu mereka sedar apa yang ditulis dan dikongsikan di media sosial. Itu sahaja tujuan saya.
"Sebab dia seorang OKU dan hidup dalam dunianya sendiri. Saya kasihan melihat dia terus dikecam netizen.
"Saya nampak komen pada satu video yang menggelarnya mental dan gila. Bagi saya, perkara itu tidak baik kerana mereka tidak tahu dia sebenarnya seorang OKU.
"Saya tidak mahu netizen mengeluarkan kata-kata yang tidak baik terhadap golongan OKU," katanya ketika ditemui pada sesi apresiasi media Hotlink Geng Bijak Berbajet (GBB) Next Chapter di TV3 Common Area, Balai Berita, di sini, baru-baru ini.
Menurut Zaki, dia sudah mengetahui kewujudan peminat terbabit sejak dua hingga tiga tahun lalu apabila individu itu menunjukkan minat yang terlalu mendalam terhadap dirinya sehingga mencipta pelbagai cerita tidak benar.
"Saya sudah lama tahu mengenai dia, kira-kira dua atau tiga tahun lalu. Saya sedar dia memang terlalu fanatik kerana pernah melukis wajah saya dan menjual lukisan itu.
"Dia juga pernah mewujudkan akaun palsu yang menyamar sebagai media, selain menghasilkan kandungan yang mendakwa saya menyukai seseorang, sedangkan nama yang disebut sebenarnya merujuk kepada dirinya sendiri.
"Ketika itu, perkara itu tular dan dia menerima kecaman yang teruk daripada netizen. Namun, mereka tidak tahu dia sebenarnya seorang OKU," katanya.
Pada masa sama, Zaki berkata, dia tetap menghargai sokongan peminat, namun berharap individu terbabit tidak lagi menghasilkan kandungan yang boleh mengelirukan atau mencetuskan salah faham.
"Saya memang menghargai orang yang meminati saya. Kalau mahu hasilkan kandungan mengenai saya di TikTok atau Threads, saya tiada masalah.
"Cuma jangan mereka cerita yang bukan-bukan sehingga orang lain mempercayainya dan akhirnya saya pula menjadi bahan usikan rakan-rakan.
"Malah, rakan-rakan serta kenalan ayah saya sendiri menghantar kandungan itu kepada saya dan bertanya dari mana datangnya cerita berkenaan," katanya.
Zaki bagaimanapun bersyukur apabila isu berkenaan berjaya diselesaikan secara baik selepas kakak kepada individu terbabit menghubunginya.
"Kakaknya menghantar mesej peribadi kepada saya dan memaklumkan adiknya seorang OKU. Saya kata tidak mengapa dan saya memang tiada masalah dengan dia.
"Cuma saya rasa ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian supaya keadaan ini tidak menjadi lebih buruk.
"Individu itu juga sudah memohon maaf, manakala keluarganya berjanji akan memantau penggunaan telefonnya selepas ini. Jadi, semuanya sudah selesai," katanya.
Terdahulu, Zaki menegaskan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna media sosial yang didakwa menyebarkan cerita palsu mengenai dirinya.
Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna terbabit mendakwa Zaki sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang personaliti TikTok.
























