SEOUL: Penyanyi dan pelakon popular Korea Selatan, IU, mengumumkan pembatalan konsert yang dijadual berlangsung di Goyang pada September depan selain menangguhkan pelancaran album studio keenam susulan keadaan kesihatannya yang semakin merosot, lapor Soompi.com
Pengumuman itu dibuat IU menerusi platform peminat, Berryz, semalam selepas disahkan mengalami simptom sindrom disfungsi tiub Eustachian jenis patulous yang semakin serius.
IU dilaporkan berkata, dia sudah lama bergelut dengan penyakit berkenaan, namun sejak kebelakangan ini simptom dialami menjadi semakin teruk sehingga menjejaskan keupayaannya untuk menyanyi.
"Saya menghidap penyakit ini sejak beberapa tahun lalu, tetapi sejak kebelakangan ini simptomnya semakin teruk.
"Saya tertanya-tanya sama ada saya terlalu memaksa diri sepanjang beberapa tahun lalu kerana terlalu memberi tumpuan kepada kerja sehingga mengabaikan keadaan kesihatan sendiri.
"Sejak kebelakangan ini, simptom berlaku tanpa henti siang dan malam selama beberapa hari berturut-turut. Saya juga berulang kali berdepan kesukaran untuk kembali ke tahap prestasi seperti biasa ketika menyanyi," katanya, lapor portal berkenaan.
Menurut IU, pakar perubatan turut menasihatkannya supaya tidak meneruskan sebarang persembahan berskala besar buat sementara waktu.
"Konsert memerlukan banyak pergerakan dan menyebabkan saya berpeluh dengan banyak. Berdasarkan keadaan semasa, pakar berpendapat agak sukar untuk saya meneruskannya buat masa ini," katanya.
Penyanyi berusia 33 tahun itu mengakui berasa amat bersalah kerana terpaksa membatalkan konsert yang sudah lama dinantikan peminat.
"Saya benar-benar berasa berat hati dan memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan janji untuk mengadakan konsert.
"Saya juga sedih kerana seolah-olah merosakkan perancangan kita semua bagi separuh kedua tahun ini," katanya.
Laporan itu menyebut, selain pembatalan konsert, IU berkata pelancaran album studio keenam turut ditangguhkan kerana keseluruhan promosi sudah dirancang seiring dengan siri persembahan dan jelajah konsert.
"Memandangkan promosi album studio keenam dirancang bersama persembahan pentas dan jelajah konsert, saya tiada pilihan selain menangguhkan tarikh pelancarannya.
"Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk kembali dengan album baharu dan persembahan secepat mungkin supaya penantian ini tidak terlalu lama. Mohon tunggu saya sedikit lagi," katanya.- AGENSI
























