KUALA LUMPUR: Penyanyi Wani Syaz, 29, kini bergelar tunangan orang apabila disunting jejaka pilihan yang juga usahawan berasal dari kampung halamannya di Batu Pahat, Johor.
Terdahulu, berita gembira itu dikongsi Wani Syaz atau nama sebenar. Nursyazwani Selamat dalam hantaran Instagram (IG).
Tanpa menutup wajah tunangnya, sikap terbuka Wani berkongsi foto bakal suami yang dikenali Habib Safwan itu menarik perhatian ramai yang mengucapkan tahniah serta mendoakan urusan naik pelamin pasangan ini lancar.
"Umi... Sudah ada orang sanggup layan perangai adik ini," tulisnya ringkas pada kapsyen berserta emoji senyum dan cincin.
Menerusi ruangan komen, difahamkan Habib adalah peminat Wani Syaz dan lelaki itu difahamkan beberapa tahun lebih muda daripada penyanyi lagu Lepaskan itu.
"Alhamdulillah, tahniah adikku dan pasangan. Till Jannah," komen penyanyi Azwan Satar.
"Masya-Allah, tahniah. Semoga kekal bahagia, amin," kata pelakon Yana Samsudin
"Tahniah Wani ku sayang," tulis penyanyi Ernie Zakri dengan emoji hati berwarna merah.
"Cantiklah dia... Tahniah adik," ucap penyampai radio, Feeya Iskandar turut gembira.
Wani Syaz yang juga anak bongsu daripada dua beradik kini mengusahakan restoran makanan bersama keluarganya di Batu Pahat, Johor selain aktif menyanyi.
Anak kepada seorang guru agama, Rohanisah Hassan Basri difahamkan Wani Syaz sangat berhati-hati dalam pergaulannya dan selama menjadi artis dia bersih daripada segala gosip.
Tidak hanya itu, majlis pertunangan Wani Syaz dan Habib Safwan juga dikatakan berlangsung pada 27 Jun lalu, namun, baru sekarang ia dikongsikan di media sosial buat tatapan peminat dan pengikut yang menyokong kerjaya seninya.
























