BH Online
Ringkasan Berita

Kmy Kmo, Luca Sickta dan Niken Salindry angkat warisan Nusantara dalam Tinggi

KUALA LUMPUR: Muzik menjadi jambatan yang merapatkan hubungan budaya serumpun apabila duo hip hop, Kmy Kmo & Luca Sickta berganding dengan penyanyi sinden Indonesia, Niken Salindry menerusi lagu Tinggi, sebuah karya yang mengangkat warisan, martabat dan jati diri Nusantara.
Kmy Kmo, Luca Sickta dan Niken Salindry angkat warisan Nusantara dalam Tinggi

Kolaborasi Kmy Kmo & Luca Sickta bersama Niken Salindry mengangkat mesej bahawa kebesaran sebenar diukur melalui budi, nilai dan warisan yang ditinggalkan. Foto ihsan Kmy Kmo & Luca Sickta

KUALA LUMPUR: Muzik menjadi jambatan yang merapatkan hubungan budaya serumpun apabila duo hip hop, Kmy Kmo & Luca Sickta berganding dengan penyanyi sinden Indonesia, Niken Salindry menerusi lagu Tinggi, sebuah karya yang mengangkat warisan, martabat dan jati diri Nusantara.

Kolaborasi antarabangsa pertama itu menghimpunkan rap Melayu dan vokal tradisional Jawa dalam sebuah karya yang mengangkat nilai warisan, martabat, kenangan serta budi, sekali gus membuktikan muzik mampu menjadi jambatan yang menyatukan dua negara serumpun.

Lagu berkenaan dimuatkan dalam album terbaharu Kmy Kmo & Luca Sickta berjudul Gong.

Menerusi lirik yang sarat makna serta alunan sinden yang menjadi identiti budaya Jawa, Tinggi membawa mesej bahawa sejarah, nilai dan budi akan terus hidup biarpun kuasa, pangkat serta masa berlalu.

Kolaborasi lahir daripada kecintaan terhadap budaya

Menurut Kmy Kmo & Luca Sickta yang juga komposer lagu berkenaan, Tinggi dihasilkan bukan sekadar untuk menghiburkan, sebaliknya mengajak generasi muda kembali menghargai akar budaya sendiri.

"Kami percaya muzik ialah bahasa yang mampu menyatukan. Melalui Tinggi, kami ingin menyampaikan bahawa kebesaran seseorang tidak diukur melalui kuasa atau harta, sebaliknya melalui budi, nilai dan warisan yang ditinggalkan.

"Kolaborasi ini juga membuktikan budaya Nusantara mampu terus berkembang tanpa kehilangan jati diri," kata mereka.

Niken bangga bawa seni sinden ke pentas lebih luas

Sementara itu, Niken Salindry menyifatkan kolaborasi berkenaan sebagai peluang istimewa untuk memperkenalkan seni sinden kepada khalayak yang lebih luas, selain mengetengahkan kekayaan budaya Jawa kepada generasi baharu.

"Saya terus tertarik apabila mendengar konsep lagu ini. Mesej yang dibawakan sangat kuat dan selari dengan semangat memelihara budaya.

"Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada karya yang mempertemukan muzik moden dengan tradisi, sekali gus mengeratkan hubungan budaya antara Indonesia dan Malaysia," katanya.

Video muzik tampil megah di Jakarta

Keistimewaan Tinggi turut diterjemahkan menerusi video muzik yang menjalani penggambaran di Taman Mini Indonesia Indah (TMII), Jakarta.

Mengangkat konsep produksi berskala besar, video muzik itu membabitkan puluhan penari, tata artistik yang megah, pelbagai prop budaya serta busana tradisional yang diinspirasikan daripada kekayaan budaya Malaysia dan Indonesia.

Keseluruhan elemen visual dirancang bagi menggambarkan semangat serumpun Nusantara, selain memperlihatkan bagaimana dua negara yang berkongsi akar sejarah dan budaya mampu disatukan menerusi sebuah karya muzik moden yang sarat makna.

Lebih daripada sekadar sebuah lagu, Tinggi menjadi lambang persahabatan, penghormatan terhadap budaya serta harapan agar generasi masa kini terus memelihara warisan Nusantara melalui bahasa, muzik dan tradisi.

Mesej utama lagu itu dirumuskan dalam ungkapan ringkas tetapi mendalam dan membawa maksud kebesaran sejati bukan terletak pada kuasa atau kekayaan, sebaliknya pada budi, nilai dan jejak kebaikan yang ditinggalkan.

Video Terkini

Berita Berkaitan